Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar terkandas harapkan pemberian makanan

    MELBOURNE – Australia menarik ratusan ribu pelajar antarabangsa ke negaranya dengan janji pendidikan kelas pertama serta pengembaraan menyeronokkan, akan tetapi krisis koronavirus telah mengakibatkan ramai tanpa pekerjaan dan bergantung kepada pemberian makanan.

    Setiap hari, sehingga 100 orang pelajar dari Asia, Latin Amerika dan ne-gara lain berdiri ditanda pangkah warna merah jambu di luar sebuah sekolah memasak Melbourne, menunggu untuk mengambil makanan yang baru dimasak dengan percuma.

    Pelajar berkenaan, hanya sebahagian kecil daripada yang sebenarnya, membayar beribu-ribu dolar AS setiap tahun untuk belajar di Australia tetapi, seperti pelajar Colombia, Santiago Castillo, kini mendapati diri mereka bergantung pada wang yang tidak seberapa untuk hidup.

    Castillo, 26, bekerja di sebuah kafe sebelum pandemik meletus, salah satu daripada hampir satu juta pekerjaan terhenti di Australia disebabkan langkah perintah berkurung.

    Selepas membayar sewa dan meminjam wang daripada rakan, beliau kini bergantung pada wang berjumlah kurang AS$66 dalam akaun simpanannya, jumlah yang tidak seberapa untuk hidup di salah sebuah bandar paling mahal di dunia.

    Cef sukarelawan pelajar antarabangsa bekerja di Institut Pendidikan Bandar Melbourne semasa menyediakan 900 hidangan percuma untuk pelajar antarabangsa yang dimasak di dapur institut berkenaan. – AFP
    Michelle Cassell (kanan), pegawai kebajikan pelajar di Institut Pendidikan Bandar Melbourne, memberikan makanan percuma kepada pelajar antarabangsa. – AFP

    Pelajar antarabangsa menerima makanan percuma di Institut Pendidikan Bandar Melbourne. – AFP
    Gurpreet Bhatia (kiri), ketua kursus hospitaliti di Institut Pendidikan Bandar Melbourne dan anggota sukarelawan membantu menyediakan lebih 900 makanan percuma untuk pelajar antarabangsa. – AFP

    Sebahagian besar subsidi kerajaan yang diberikan kepada pekerja dibuang tidak dikenakan kepada penduduk bukan tetap, walaupun jika mereka membayar cukai tempatan dan membawa berbi-lion dolar ke dalam ekonomi Australia.

    Untuk mengisi kekosongan tersebut, dapur-dapur pelajar telah pun muncul di seluruh negara.

    “Keadaan benar-benar tertekan,” beritahu Castillo kepada AFP, menuding pada sista yang terdapat di bibir dan bahagian bawah kedua-dua mata sejak beliau kehilangan kerja.

    “Saya mengalami masalah kulit..Ia seolah-olah saya boleh mengendali stres dalam fikiran saya, tetapi tubuh badan saya sedang memberikan reaksi,” katanya.

    Elaun dua hidangan sehari – biasanya sajian kari atau ayam dan sayur – di Institut Pendidikan Bandar Melbourne banyak membantu pelajar berkenaan.

    Pelajar antarabangsa Brazil, Marilia da Silva juga telah bergantung kepada pemberian makanan. Beliau mengikuti kursus bahasa Inggeris dan bekerja selama 20 jam seminggu di sebuah kafe sebelum beliau dibuang kerja.

    Beberapa tukang cuci yang dikenalinya juga menawarkan untuk membantu dengan makanan: “Mereka berkata, ‘jika kamu memerlukan sesuatu, tolong beritahu saya’…Saya rasa sungguh lega dengan bantuan yang ditawarkan.”

    Terdapat hampir 600 pelajar antarabangsa di Institut Pendidikan Bandar Melbourne sahaja dan menurut pengarah urusan Institut Gary Coonar, 90 peratus di antara mereka telah kehilangan pekerjaan mereka.

    Pegawai kebajikan pelajar Michelle Cassell berkata ‘dalam situasi seperti ini, pelajar biasanya tidak akan makan supaya mereka boleh membayar sewa tempat tinggal mereka.’

    Beliau berkata masalah pelajar yang terdesak telah menjadi amat ketara dalam tempoh enam minggu lalu, dengan dapur sekolah beroperasi setiap hari pada kapasiti maksimum.

    Institut itu telah bergabung dengan badan kebajikan tempatan Yayasan Charon untuk membiayai dan menyediakan 900 hidangan seminggu sejak 30 Mac kepada mereka yang terjejas teruk.

    Cassell berkata program itu mungkin berlangsung sehingga September atau ‘sehingga pelajar boleh berdikari semula.’

    Terdapat lebih daripada 500,000 pelajar antarabangsa di Australia, bernilai kira-kira Aus$32 bilion untuk ekonomi.

    Universiti hampir menghabiskan pertengahan semester pertama mereka apabila Perdana Menteri Scott Morrison memberitahu pelajar antarabangsa supaya ‘pulang ke negara mereka’ pada 3 April.

    “Semasa beliau mengeluarkan arahan tersebut, penerbangan telah pun terhenti,” beritahu Coonar kepada AFP. “Orang yang ingin meninggalkan negara tidak dapat berbuat demikian.”

    Cef sukarelawan Laarni Byrne telah memulakan kursus sijil dalam masakan komersial apabila beliau membuat keputusan untuk tinggal di Australia.

    Ibu tunggal dengan dua orang anak di Filipina itu berkata, pulang ke tanah airnya bukan satu pilihan. “Saya benar-benar bernasib baik kerana saya berjaya sampai ke Australia. Saya perlu bekerja amat keras untuk berada di sini,” katanya.

    Pelonggaran sekatan mulai 1 Jun akan bermakna restoran-restoran dan kafe boleh menerima lebih ramai pelanggan dan beberapa pelajar memberitahu AFP mereka telah pun dihubungi oleh bos mereka dengan jadual syif diatur.

    Bagaimanapun, perniagaan yang dijangka dibuka semula secara beransur-ansur bermakna bukan semua pelajar antarabangsa yang akan kembali ke pekerjaan sebelumnya.

    Setelah kehilangan kerja pemasaran dalam talian dan hospitaliti, Byrne berkata: “Adalah lebih baik untuk menjadi lebih produktif daripada memikirkan mengenai kesan COVID-19.” – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda