Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Keceriaan wajah ribuan rakyat dan penduduk negara jelas kelihatan bagi sama-sama menyaksikan secara langsung Istiadat Perarakan Pengantin Diraja antara Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dengan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam, hari ini.
“Apa yang pasti, ia merupakan satu kerahmatan daripada Allah SWT yang mengurniakan nikmat keselamatan, kemakmuran dan ketenteraman dalam beragama, berbangsa dan bernegara selama ini yang sekali gus mengekalkan nilai-nilai warisan turun-temurun adat istiadat perkahwinan diraja yang berlangsung pada ketika ini.
“Dengan adanya acara penuh adat ini, diharap akan dapat mendidik jiwa kami lagi sebagai anak bangsa untuk terus bersatu-padu dalam memartabatkan segala tindak-tanduk Melayu Islam Beraja,” ucap wakil pelajar dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) iaitu Awang Muhamad Naqib Danial bin Haji Sijon, Awang Ahmad Irfan bin Mohamad dan Awang Muhammad Salahudin Al-Ayubi bin Roslan yang menyertai persembahan hadrah bagi mengalu-alukan keberangkatan mempelai diraja di kawasan jalan berhadapan Balai Bomba, Bandar Seri Begawan semasa berkesempatan ditemui pihak media.
Curahan kegembiraan turut diungkapkan oleh salah seorang pelajar Tahun 10 dari Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam (SMPIHM), Awang Yazrul Ariqin bin Yusri bersama rakan-rakannya yang terlibat dalam acara perbarisan bagi Istiadat Perarakan Pengantin Diraja yang merupakan detik-detik yang amat ditunggu-tunggu selama ini.
“Inilah pertama kali menyaksikan upacara sebegini dan pastinya suasana inilah akan menjadi pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan kerana semua rakyat tidak kira semua lapisan masyarakat berganding bahu dalam melakarkan ristaan sejarah,” tambahnya.