BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Dalam usaha memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman serta menghubungkan pengetahuan bilik darjah dengan aplikasi dunia sebenar, Sekolah Menengah Sayyidina Husain baru-baru ini telah menganjurkan lawatan pendidikan ke Bahagian Industri Ternakan dan Perkhidmatan Veterinar di Terunjing di bawah Jabatan Agrimakanan dan Pertanian.
Lawatan itu dianjurkan bersama Jabatan Subjek Pertanian dan Seksyen Pendidikan Kerjaya sekolah tersebut, melibatkan seramai 35 orang pelajar Pertanian Tahun 10 dan Tahun 11 dan diiringi oleh dua orang guru Pertanian, dua orang guru Biologi serta Timbalan Pengetua Akademik, Sia Ai Kim.
Setibanya di sana, rombongan telah disambut mesra oleh pegawai dan kakitangan Bahagian Industri Ternakan dan Perkhidmatan Veterinar yang memberikan taklimat serta membawa pelajar melawat ke beberapa unit makmal.
Para pelajar didedahkan kepada proses diagnostik penyakit haiwan, kawalan mutu hasil ternakan serta peranan penting sains veterinar dalam menjamin keselamatan makanan dan kesihatan awam.
Lawatan itu bertujuan mendedahkan pelajar kepada peranan dan fungsi Perkhidmatan Makmal Veterinar, memperdalam pemahaman mereka terhadap diagnosis penyakit haiwan dan jaminan mutu hasil ternakan, mengukuhkan pengetahuan teori subjek Pertanian melalui pemerhatian secara langsung serta memupuk minat dan motivasi terhadap kerjaya dalam bidang pertanian dan veterinar.
Selaras dengan prinsip pembelajaran abad ke-21, program ini menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman, menggalakkan pelajar belajar melalui pemerhatian langsung, inkuiri dan refleksi.


