TAWAU, 8 MEI – Sebanyak 61 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu Keramat di sini bakal menampilkan persembahan muzik dan lagu-lagu klasik menggunakan alat muzik tradisional, antaranya angklung pada Program MADANI Rakyat 2025 Sabah.
Guru Perdana SK Tanjung Batu Keramat Mariyanti Sardi berkata antara lagu yang dipersembahkan pelajar itu bertajuk Azizah, dendangan asal Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang ditujukan khas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda kasih sayang mereka kepada Perdana Menteri ke-10.
Mariyanti yang juga ketua kumpulan muzik itu berkata pelajar tahun lima Nurul Taqwa Safri akan mendendangkan lagu itu bersama medley beberapa lagu klasik lain antaranya Bujang Lapok dan Lenggang Kangkung.
Beliau berkata selain angklung iaitu alat muzik terbanyak digunakan, persembahan lagu pelajar sekolah itu juga bakal diiringi alat muzik ukelele, kalimba, gitar, tamborin, shaker dan keyboard selain memainkan muzik instrumental menggunakan alat muzik berkenaan.
“Kami mengambil masa dua minggu berlatih di sekolah untuk persembahan PMR kali ini. Kami juga mempersembahkan lagu khas untuk PM (Anwar) yang kami berlatih khas iaitu lagu Azizah.
“Persembahan ini kami gabungkan pelajar tahap satu, dua dan penglibatan inklusif 11 murid PPKI (Program Pendidikan Khas Inklusif) yang amat berbakat dalam muzik,’’ katanya kepada Bernama di Tawau hari ini.
PMR 2025 Sabah bakal diadakan bermula esok sehingga Ahad ini di Dataran Majlis Perbandaran Tawau dan PM Anwar dijadual merasmikan majlis penutup program itu.
Mariyanti berkata peluang mengadakan persembahan pada PMR 2025 Sabah di hadapan khalayak ramai terutama pemimpin negara mampu membina keyakinan dan jati diri tinggi para pelajar. – Bernama
