Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Tiga orang pelajar Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam (FPPI), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah meraih tempat kedua bagi kategori pembentangan terbaik dalam pertandingan Syariah Economics Advancement – Sunan Kalijaga 3.0 (SEA-SUKA 3.0).
Pertandingan dengan tema ‘Pembangunan Industri Halal untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mapan’ (SDG) itu diadakan selama dua hari iaitu pada 30 dan 31 Mei lalu dan dianjurkan oleh Universitas Islam Negeri (UIN) Sunan Kalijaga Yogyakarta, Indonesia.
Kumpulan pelajar yang dinamakan sebagai Simpur tersebut telah membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Menguruskan Sistem Rekreasi Halal bagi Kualiti Kehidupan dan Ekosistem di Brunei Darussalam’ yang membincangkan mengenai pengurusan rekreasi halal di Negara Brunei Darussalam bagi mencapai kehidupan yang berkualiti di samping mencapai SDG.
