Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Tiga orang pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menyertai Persidangan Kepimpinan Belia Islam (IYLC) 2.0 selama empat hari di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Terengganu, Malaysia, baru-baru ini.
Persidangan yang berlangsung dari 18 hingga 21 Oktober lalu anjuran Majlis Perwakilan Pelajar UNISZA itu telah melibatkan para pelajar dari negara-negara anggota ASEAN seperti Thailand, Indonesia dan Brunei serta para pelajar antarabangsa UNISZA sendiri.
Tiga orang pelajar berkenaan terdiri daripada Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Pelajar (MPP PP) UNISSA, Awang Muhammad Firdaus bin Sait; Setiausaha II, MPP PP UNISSA, Dayang Nur Akashah Nadhirah Afifah binti Razali; dan Presiden ALSA Brunei, Dayang Syafiah binti Abdul Hafidz.
Dalam persidangan berkenaan, para pelajar UNISSA telah membahaskan mengenai tajuk Kepimpinan Mampan bersama para pelajar lain dan keperluan untuk membentuk generasi masa kini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, pengungkayahan IYLC merupakan platform bagi para peserta mengumpul, berkongsi idea, dan meneroka isu-isu yang relevan dalam skop kepimpinan, kesukarelawanan, dan peranan belia dalam pembuatan dasar.

Ia selaras dengan salah satu objektif program iaitu untuk menggalakkan dialog mengenai kepimpinan dalam kalangan belia ASEAN dan seterusnya sebagai nilai tambah kepada golongan muda di samping menanamkan nilai kepimpinan ke dalam diri para peserta.
IYLC bukan sekadar persida-ngan, tetapi pemangkin perubahan dan pertukaran idea yang mendalam. Di samping berkongsi kefahaman mengenai isu-isu utama seperti kepimpinan, kesukarelawanan, dan peranan belia dalam membuat dasar, program juga memberikan peluang kepada para peserta terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Antara aktiviti kemasyarakatan berkenaan seperti kunjungan ke Kampung Cheting, Kuala Terengganu di mana para peserta turut bekerjasama membantu membersihkan tanah perkuburan, membersihkan sekitar kampung, dan membantu memasak hidangan dengan penduduk tempatan. Aktiviti pada hari tersebut berakhir dengan sambutan Maulidur Rasul yang menggambarkan nilai bergotong-royong.
Pelajar-pelajar juga menjalani proses pembelajaran pengalaman melalui kunjungan ke tapak dan makam para pahlawan terhebat dalam sejarah Malaysia.
Mereka mengkaji sifat-sifat kepimpinan yang telah diperlihatkan oleh pahlawan-pahlawan tersebut dalam mempertahankan negara, serta menimba pengajaran berharga yang akan membentuk generasi-generasi masa depan.
Sementara itu, Persidangan Mahasiswa sebagai kemuncak acara dalam IYLC 2.0 memfokuskan mengenai kepimpinan dalam dunia Islam di mana perbincangan yang dinamik turut membuka wawasan yang mendalam tentang berbagai aspek kepemimpinan dalam konteks agama dan dunia moden kepada para peserta.