Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Pelajar UTAR serlah kreativiti dalam fesyen

    MALAYSIA – Pelajar di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) kampus Kampar baru-baru ini berpeluang menguji kreativiti mereka dalam fesyen.

    Berbekalkan barangan kitar semula, mereka mencipta pakaian yang kemudiannya mereka peragakan pada pertandingan pertunjukan fesyen, sebagai sebahagian daripada siri aktiviti yang diadakan pada 3 September lalu untuk mempromosikan kepentingan 5R (Menolak, Mengurangkan, Guna Semula, Diperbaharui dan Kitar Semula).

    Dinamakan ‘R-Show in Kampar: 5R Fashion Show Design Competition’, acara itu yang turut diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-20 universiti itu menyaksikan penyertaan seramai 300 orang.

    Mendapat tempat pertama dalam pertandingan itu ialah gandingan Mike Yong dan Andy Choo yang mengatasi enam kumpulan lain, membawa pulang RM200 dan sebuah komputer riba. Yong berkata dia mereka bentuk pakaian berinspirasikan streetwear manakala Choo memperagakannya semasa pertunjukan fesyen.

    “Kami tidak menjangkakan untuk menjadi juara pertandingan.

    Choo memperagakan pakaian yang direka oleh Yong yang mendapat tempat pertama semasa pertandingan. – ANN/The Star

    “Kami hanya mahu berkongsi kreativiti kami dalam fesyen sambil kami gembira ‘membuatnya sendiri’. Memenanginya adalah satu bonus,” katanya.

    “Kami bersyukur kerana juri dan penonton menyukai reka bentuk itu,” tambahnya.

    Pemenang hadiah kedua dan ketiga masing-masing memenangi RM150 dan RM100 serta sebuah komputer riba.

    Salah seorang penonton, Lau Pei Ying, 21, berkata pertunjukan fesyen itu unik dan mempunyai idea-idea hebat dan unik.

    “Memang menarik untuk melihat pereka menerangkan inspirasi dan rancangan mereka dalam menggunakan barangan kitar semula, pada masa yang sama menyampaikan mesej kitar semula.

    “Ia adalah pertunjukan fesyen yang jarang saya berpeluang melihatnya, dan saya berharap dapat melihat lebih banyak acara serupa yang dianjurkan pada masa hadapan,” katanya.

    Penasihat pertandingan dan pensyarah UTAR Diong Fong Wei berkata idea kitar semula bukanlah perkara baharu tetapi masih penting untuk terus menggalakkannya daripada satu generasi ke generasi yang lain.

    “Untuk menyemai tabiat kitar semula dalam kalangan generasi muda, kita perlu memikirkan idea kreatif seperti pertunjukan fesyen ini.

    “Saya berharap peserta kami akan mengetahui lebih lanjut mengenai kitar semula sekarang, terutamanya amalan 5R,” kata Diong.

    Terdahulu, seramai 35 mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Perhubungan Awam bekerjasama dengan Majlis Daerah Kampar mengadakan acara kitar semula di kampus berkenaan.

    Bengkel, ceramah dan pameran turut diadakan bagi mempromosikan kepentingan 5R dalam melindungi alam sekitar dan menurunkan kadar banjir kilat di daerah ini. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...