Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Pemikiran inovatif dan komitmen dalam mencari penyelesaian kepada masalah telah diketengahkan oleh pelajar-pelajar Universiti Teknologi Brunei (UTB) dalam Pameran Projek UTB 2024 yang berlangsung di Dewan Serba Guna dan Bangunan Fakulti Kejuruteraan, UTB, hari ini.
Pameran tahunan yang dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan (Feng) dan Pusat bagi Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran (CCTL), UTB itu diadakan bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2024.
Hadir bagi menyempurnakan perasmian dan menyaksikan projek-projek para pelajar ialah Pemangku Naib Canselor UTB, Dr Au Thein Wann.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai-pegawai utama UTB, jemputan-jemputan khas daripada pihak kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah dan rakan kongsi industri serta kakitangan termasuk pelajar UTB.
Bertemakan Inventive Minds, Sustainable Visions: Merging Creativity and Responsibility, pameran tersebut merupakan bukti kepelbagaian inovasi pelajar di mana ia mengetengahkan sebanyak 376 projek pelajar dari Feng, CCTL, Sekolah Perniagaan UTB (UTB SB), Sekolah Pengkomputeran dan Informatik (SCI), Sekolah Sains Gunaan dan Matematik (SASM) serta Sekolah Reka Bentuk (SDe).
Acara selama sehari itu bermatlamat untuk mengetengahkan dan meraikan pencapaian pelajar tahun akhir dengan tema pameran mencerminkan pemikiran inovatif para pelajar serta komitmen mereka kepada menjana penyelesaian yang bukan sahaja kreatif tetapi juga mampan iaitu menggabungkan kreativiti dan tanggungjawab dalam projek-projek
mereka.
Feng mempamerkan projek terbanyak dengan 97 projek tahun akhir, diikuti oleh UTB SB sebanyak 94 projek, SCI (73 projek), SASM (63 projek), SDe (42 projek) dan CCTL (tujuh projek).
Pameran itu bukan sahaja menyediakan sebuah platform bagi para pelajar untuk menyampaikan idea-idea mereka tetapi ia juga dihasratkan bagi menjana semangat kolaborasi.
Ia merupakan peluang yang terbaik bagi organisasi awam dan swasta untuk mengenal pasti bakat-bakat yang berpotensi dan meneroka potensi kolaborasi, di mana ia akan menyumbang kepada pertumbuhan sektor perindustrian dan akademik.



