Saturday, November 16, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar Vietnam capai impian belajar di China

    HANOI – Pusat Konvensyen Nasional di Hanoi dipenuhi ribuan penduduk tempatan meneroka cara untuk merealisasikan impian pendidikan dan kerjaya mereka dengan belajar di China.

    Pelajar universiti yang kelihatan bersemangat ditemani oleh ibu bapa mereka dari seluruh Vietnam berkumpul di acara pengajian bahasa Cina iaitu ‘Seminar dan Ekspo Pengajian HSK di China 2023’, di mana lebih 130 wakil 52 universiti dari China menawarkan program dan biasiswa yang berkaitan.

    Kira-kira 60 pelajar Vietnam berdiri dalam dua barisan panjang di hadapan ruang yang dikhaskan untuk pemeriksa Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK), atau Ujian Kemahiran bahasa Cina.

    Dengan sabar beratur di hadapan ruang tersebut, seorang graduan universiti bernama Van Anh memberitahu Xinhua bahawa dia akan mendaftar untuk mengambil HSK yang akan datang untuk dirinya sendiri dan adik perempuannya bernama My Duyen, seorang pelajar di Sekolah Tinggi Nguyen Van Troi di Hanoi.

    “Selepas selesai pendaftaran HSK, saya akan datang ke petak ruang beberapa universiti China, mungkin Universiti Komunikasi China untuk mengenali kurikulum mereka, kerana adik perempuan saya amat meminati bidang kewartawanan dan media,” kata pemuda itu.

    Para pelajar Vietnam berbaris di pintu masuk seminar dan ekspo pengajian bahasa China 2023 di ibu negara Vietnam, Hanoi. – Xinhua

    Di barisan sebelah adalah sekumpulan besar pelajar dan ibu bapa mereka sedang meminta maklumat tentang program sarjana muda dan siswazah di Universiti Tsinghua.

    Dengan anggun memakai Ao dai, pakaian panjang tradisional Vietnam, seorang wanita pertengahan umur bernama Nguyen Khanh Van berkata dia ingin tahu tentang program sarjana muda seni atau sastera untuk anak perempuannya yang berminat mempelajari budaya Cina.

    Wanita itu berkata yuran pengajian tahunan untuk program sarjana muda dalam bidang sains sosial ialah hampir menyecah AS$3,800 dan penginapan bulanan di kampus ialah AS$174, jauh lebih rendah daripada yuran di Singapura, apatah lagi jika dibandingkan dengan yuran di negara yang jauh seperti di Amerika Syarikat dan Australia.

    Bagi mempersiapkan diri untuk belajar di China serta memohon biasiswa di sana, Lei Hai Nam, yang bakal menamatkan kursus sarjana muda di Universiti Hanoi, telah menghadiri kursus latihan percuma dalam bahasa Cina dan belajar sendiri bahasa yang dituturkan oleh satu perlima penduduk dunia.

    Menurut Nam, mendapat biasiswa penuh bukan sahaja membantunya belajar dan hidup dengan selesa di Beijing, tetapi juga menjimatkan belanja sebanyak AS$72.50 hingga AS$116 sebulan.

    Seperti Nam, ramai mahasiswa sarjana muda tempatan yang lain juga bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di China dan kembali ke Vietnam, terutamanya di kampung halaman mereka untuk membawakan pengetahuan serta kepakaran mereka yang meluas dan mendalam.

    Nguyen Ha My, seorang pelajar berusia 21 tahun di Universiti Perdagangan Asing di Hanoi, berkata dia dilahirkan di wilayah utara Quang Ninh yang bersempadan dengan China, jadi sejak kecil, dia sudah biasa dengan pertukaran budaya dan ekonomi rentas sempadan.

    Pada seminar itu, Luo Jianbo, dekan Sekolah Pertukaran Budaya Antarabangsa Universiti Fudan, berkata apabila menjejakkan kaki ke Vietnam, beliau segera merasakan keghairahan rakyat Vietnam untuk mempelajari bahasa Cina dan pihak berkuasa tempatan dalam menyokong aktiviti itu, yang menunjukkan daya hidup penuh dan aplikasi meluas belajar bahasa Cina di negara itu.

    Sejak menerima 214 pelajar Vietnam pertama pada 1965, Universiti Fudan mengalu-alukan lebih ramai warga negara Vietnam, terutamanya belia yang merupakan masa depan hubungan baik antara China dan Vietnam, katanya.

    Xi Hui, menteri Kedutaan China di Vietnam, berkata dalam tempoh lima tahun akan datang, China akan memberikan Vietnam tidak kurang daripada 1,000 Biasiswa Kerajaan China dan tidak kurang daripada 1,000 Biasiswa Guru Bahasa Cina Antarabangsa. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda