Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Sekolah Menengah Lambak Kiri (SMLK) turut menerima kedatangan seramai 150 orang pelajar baharu Tahun 7 yang menyertai sesi orientasi selama dua hari hingga hari ini.
Para pelajar yang didampingi oleh golongan ibu bapa dan penjaga telah menghadiri sesi orientasi pada hari pertama yang berlangsung di Dewan SMLK yang dimulai dengan tayangan video mengenai keselamatan sekolah dan diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan.
Dalam ucapan alu-aluan pada sesi orientasi berkenaan, Pengetua SMLK, Dayang Rosmawati binti Mohammad antaranya menyeru para pelajar untuk menepati masa agar dapat melibatkan diri dalam pelbagai program sekolah berkenaan.
Sesi taklimat bermaklumat kepada pelajar-pelajar dan ibu bapa serta penjaga turut disampaikan oleh Hajah Zirwatul manakala sesi taklimat berhubung hal ehwal kebajikan dan kewangan pelajar telah diketengahkan oleh Dayang Azyrinah pada sesi orientasi tersebut.
Sementara itu, aktiviti-aktiviti berkonsepkan suai kenal turut disertai oleh para pelajar yang dikendalikan oleh kaunselor dan ahli jawatankuasa sekolah tersebut.
Para pelajar baharu juga mengadakan lawatan pengenalan persekitaran sekolah dan diikuti dengan sesi pembahagian buku teks pembelajaran mereka pada hari kedua sesi orientasi tersebut.
Dengan adanya sesi orientasi berkenaan dihasratkan untuk mendedahkan golongan pelajar baharu khususnya dengan pelbagai sumber maklumat utama berkaitan hal ehwal sekolah, perkakas dan tip sekali gus bagi membantu mereka menyesuaikan diri dalam meniti peralihan ke sekolah menengah.