MANILA, 17 APRIL – Nora Aunor, yang dianggap oleh ramai rakyat Filipina sebagai pelakon dan penyanyi terhebat negara itu, telah meninggal dunia pada usia 71 tahun, menurut kenyataan kerajaan dan keluarganya, hari ini.
Diiktiraf sebagai Artis Kebangsaan untuk Filem dan Seni Penyiaran oleh kerajaan Filipina pada tahun 2022, Aunor — yang dahulunya seorang penjual snek kanak-kanak sebelum mencipta nama sebagai bintang dalam 170 filem — bakal diberi penghormatan melalui upacara pengebumian negara.
“Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami mengumumkan pemergian Nora Aunor, ibu tersayang kami, pelakon terkenal televisyen dan filem,” kata anak angkatnya, Lotlot de Leon dalam satu kenyataan di laman Instagram miliknya hari ini.
Punca kematian yang berlaku kelmarin tidak didedahkan.
Kerjaya seni Aunor bermula apabila beliau terpilih membintangi filem All Over the World pada tahun 1967, sebuah komedi remaja yang tipikal pada era itu.
Dengan tona kulit yang lebih gelap berbanding pelakon wanita berdarah kacukan yang mendominasi industri perfileman tempatan ketika itu, Aunor berjaya mencuri hati penonton kerana keperibadiannya yang lebih dekat dengan rakyat biasa, sehingga mendapat gelaran mesra “Ate Guy” atau “kakak Guy”.
Beliau kemudian menjadi fenomena apabila dipasangkan dalam gandingan love team bersama pelakon Tirso Cruz III, dan pasangan ini cukup terkenal dengan nama “Guy and Pip”.
Pengiktirafan dari pengkritik filem mula hadir hampir sedekad kemudian melalui lakonan mantapnya dalam filem-filem drama Tatlong Taong Walang Diyos dan Minsa’y Isang Gamu-gamo, kedua-duanya ditayangkan pada tahun 1976.
Selain berlakon, Aunor turut merakam ratusan lagu, termasuk lagu popular Pearly Shells pada tahun 1971, yang dikatakan antara single terlaris dalam sejarah industri muzik Filipina.
Pada Khamis, Presiden Ferdinand Marcos menyifatkan Aunor sebagai anugerah untuk bangsa Filipina manakala Suruhanjaya Kebangsaan bagi Budaya dan Kesenian negara itu mengesahkan bahawa mendiang akan diberi penghormatan melalui pengebumian negara pada tarikh yang akan diumumkan kelak. – AFP
