Pelakon filem Shaolin Soccer, Ng Man Tat, 70, meninggal dunia akibat kanser hati di Hospital Union, Hong Kong.
Mengikut laporan Today Online, berita kematian pelakon legenda era 1990an itu disahkan oleh rakan baiknya, Tin Kai Man. Kai Man mendedahkan, Man Tat meninggal dunia dalam keadaan tenang ketika tidur.
“Doktor memberi ubat bagi melegakan kesakitan selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sejak beberapa hari lalu. Man Tat meninggal dunia ketika isteri, anak dan adik beradik berada di sisinya.
“Beliau menjalani pembedahan selepas didiagnosis penyakit kanser hati dan menjalani kemoterapi. Keadaan Man Tat lemah dan hanya mampu berkomunikasi menggunakan isyarat tangan. Kesihatan Man Tat semakin merosot, sejak kebelakangan ini,” kata Kai Man.
Man Tat disahkan menghidap kanser hati pada penghujung tahun lalu dan menjalani rawatan di Macau. Bagaimanapun, itu bukanlah kali pertama kesihatan terganggu, sebaliknya, beliau disahkan menghidap penyakit kencing manis pada 2000.
Beliau pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi akibat masalah pernafasan sebelum disahkan menghidap penyakit jantung pada 2014. Bulan lalu, beliau mendapat serangan jantung selepas videonya memegang dada dalam keadaan kesakitan ketika berada di lokasi penggambaran menjadi tular.
Man Tat memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan seusianya 22 pada tahun 1973. Sepanjang kerjayanya, beliau banyak bergandingan dengan Raja Komedi Hong Kong, Stephen Chow. Pemergiannya cukup dirasakan Chow. – Agensi