Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelakon X-Men meninggal akibat kanser apendiks

    Adan Canto, pelakon dan penyanyi kelahiran Mexico telah disahkan meninggal dunia akibat kanser apendiks pada usia 42 tahun.

    Menurut keterangan yang diberikan oleh eksekutif publisitinya, Jennifer Allen kepada pihak media, Adan selama ini membuat keputusan untuk merahsiakan penyakitnya daripada umum.

    “Kami sangat sedih mengetahui pemergian Adan Canto. Seorang pelakon yang hebat dan rakan yang dikasihi.

    “Kami sangat bertuah memilikinya sebagai sebahagian daripada keluarga Warner Bros. Television dan Fox Entertainment sejak penampilan sulungnya di Amerika Syarikat dalam The Following lebih sedekad lalu,” kongsi Jennifer kepada CNN.

    Memetik laporan Media Hiburan, mendiang memulakan langkah dalam dunia seni sejak berusia 16 tahun lagi, Adan membuat debut di kaca televisyen Mexico menerusi siri drama Estado de Gracia pada tahun 2009.

    Tahun 2013 menjadi kenangan manis baginya apabila dia berjaya melebarkan sayap dalam Hollywood menerusi drama bersiri The Following yang disiarkan di saluran Fox.

    Disifatkan sebagai pelakon serba boleh dan berdedikasi, Adan kemudiannya membintangi beberapa siri drama terkenal antaranya seperti siri Designated Survivor, Narcos dan The Cleaning Lady.

    Selain terkenal menerusi siri drama, Adan turut membintangi pelbagai filem. Antara lakonannya yang terkenal adalah menerusi francais filem X-Men. Dia muncul dalam filem X-Men: Day of Future Past yang ditayangkan pada 2014 memegang watak sebagai Sunspot.

    Pada saat kematiannya, Adan meninggalkan seorang balu, Stephanie Ann canto dan dua orang cahaya mata. – Agensi

    Mendiang Adan semasa membintangi filem X-Men. – Animatedtimes.com
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda