Aktres Korea Selatan, Yoo Joo-eun meninggal dunia pada usia 27 tahun. Perkara itu disahkan abangnya melalui hantaran di akaun Instagram pada Isnin. Turut dikongsikan adalah nota terakhir Joo-eun, yang disiarkan atas permintaan terakhir Joo-eun. Tidak lama selepas itu, akaun tersebut dinyahaktifkan.
Media Korea berkongsi kandungan nota itu, yang berbunyi: “Saya minta maaf kerana terpaksa pergi dahulu, terutamanya kepada ibu, ayah, nenek dan abang saya.” Dia menambah, minatnya terhadap bidang lakonan adalah satu rahmat dan lakonan adalah segala-galanya bagi dirinya.
“Saya benar-benar mahu berlakon. Mungkin itu segala-galanya dan menjadi sebahagian daripada diri saya. Tetapi bukan mudah untuk menjalani kehidupan itu. Saya tidak mahu melakukan apa-apa lagi. Saya sudah putus asa. Ia adalah satu rahmat untuk melakukannnya tetapi saya juga menyedari minat mendalam itu juga adalah satu sumpahan,” tulis Joo-eun dalam nota itu.
Joo-eun memulakan kerjaya lakonannya dalam drama Big Forest dan terkenal dengan peranannya dalam Joseon Survival Period bersama Kang Ji-hwan, Kyung Soo-jin dan Song Won-seok. – Agensi
