Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelaksanaan Akta 852 galakan persekitaran sihat untuk semua

    KUCHING, 2 OKT – Langkah kerajaan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan menggalakkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat untuk semua.

    Rakyat di Sarawak menyifatkan akta yang diwartakan pada 2 Februari lepas itu dan mula berkuat kuasa semalam serentak bersama Peraturan-peraturan dan Perintah di bawahnya, penting untuk melindungi kesihatan orang ramai.

    Kerani syarikat swasta, Nur Shakila Wan Ibrahim, 28, berkata menerusi pelaksanaan akta tersebut ia dapat mengurangkan pendedahan asap rokok terutamanya kepada kanak-kanak, wanita dan individu yang mempunyai masalah kesihatan.

    “Bagi mereka yang tidak merokok, bau asap rokok ini boleh menyesakkan nafas,” katanya kepada Bernama di Kuching hari ini.

    Pekerja bank, Alias Idris Bakri, 45, pula berharap pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kesihatan Negeri melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan keberkesanan akta tersebut.

    “Lebih baik sekiranya pihak berkuasa tempatan turut menyediakan zon khas merokok dengan pengawasan yang lebih ketat sekali gus memastikan perokok lebih bertanggungjawab dalam mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

    Isnin lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan Akta 852 yang melibatkan beberapa aspek dikuatkuasakan secara serta-merta dan berfasa.

    Penguatkuasaan itu termasuk peruntukan berkaitan penjualan produk merokok berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak serta remaja bertujuan mengekang kebolehdapatan produk tersebut. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda