Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Kerajaan pada masa ini sedang meneliti secara menyeluruh cadangan untuk melaksanakan dasar waktu kerja fleksibel dalam sektor awam bagi memperkukuh integriti, produktiviti serta keseimbangan antara kerja dan kehidupan dalam kalangan penjawat awam.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof sebagai menjawab pertanyaan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam semasa Persidangan MMN, hari ini.
Menurut Yang Berhormat Pehin, waktu dan hari bekerja warga perkhidmatan awam Negara Brunei Darussalam ketika ini masih tertakluk di bawah Perkara 75 Perlembagaan Negara Brunei Darussalam serta Peraturan-peraturan Am (Waktu Bekerja) yang telah berkuat kuasa sejak 1 Januari 1962.
Namun, beliau menjelaskan bahawa JPM melalui Jabatan Perkhidmatan Awam sedang giat menjalankan kajian dan analisis secara berterusan mengenai kesesuaian dasar waktu kerja fleksibel, termasuk membuat perbandingan dengan sektor swasta di negara ini serta amalan di beberapa negara lain.
“Kajian ini turut diperkukuhkan dengan input daripada penyelidikan yang sedang dijalankan oleh salah seorang peserta Program Penempatan Kerja Pegawai Perkhidmatan Awam Kohort-2 di Republik Singapura,” tambah beliau.


Dalam masa yang sama, kajian turut menilai kemungkinan penyusunan semula hari bekerja sedia ada iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu kepada jadual yang lebih serasi demi meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan, selaras dengan usaha menjaga kesihatan mental warga kerja sektor awam.
Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, pelaksanaan dasar ini mempunyai potensi untuk direalisasikan, tertakluk kepada penilaian lanjut di peringkat Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam.
Beliau turut menegaskan pentingnya perancangan kerahan tenaga kerja yang rapi agar perkhidmatan-perkhidmatan teras kerajaan tidak terjejas sekiranya dasar ini dilaksanakan.
“Penggunaan teknologi digital juga memainkan peranan penting dalam memudahkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan kerajaan secara cekap. Pengalaman semasa pandemik COVID-19 membuktikan bagaimana perkhidmatan teras dapat diteruskan walaupun dengan jumlah kakitangan yang minimum melalui penggunaan teknologi,” jelas beliau.
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi menegaskan bahawa penyampaian perkhidmatan yang efisien dan bertanggungjawab akan terus menjadi keutamaan kerajaan, dengan mekanisme pemantauan dan pengurusan berasaskan consequences management akan turut diteliti bagi memastikan dasar ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.

