KUALA LUMPUR, 25 MEI – Kadar pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 berada di tahap yang membanggakan iaitu pada 97 peratus dengan 75 peratus, langkah-langkah telahpun diselesaikan dan 22 peratus sedang dilaksanakan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata Pelan Tindakan AEC 2025 berfungsi sebagai pelan hala tuju strategik untuk membina ekonomi ASEAN yang sangat bersepadu dan utuh, menggalakkan pertumbuhan inklusif dan diterajui inovasi serta mengukuhkan ketersambungan dan daya saing serantau.
“Menerusi pelan tindakan itu, ASEAN mencapai kemajuan ketara dalam bidang seperti liberalisasi perdagangan, pemudahan pelaburan, pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), transformasi digital dan inisiatif ekonomi yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-25 di sini bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46. – Bernama
