Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Pembayaran pencen termasuk pencen tua dan elaun di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang dilaksanakan di dewan-dewan, balai raya dan rumah-rumah penghulu dan ketua kampung di setiap daerah telah berjalan lancar.
Pelaksanaannya turut dibantu oleh ahli-ahli majlis perundingan kampung (MPK), para sukarelawan dan petugas-petugas dari jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan, menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, JAPEM juga menawarkan pembayaran pencen-pencen termasuk pencen umur tua dan elaun-elaun melalui bank bermula Mac sebagai pilihan tambahan kepada semua penerima selain daripada pembayaran secara lazim melalui penghulu dan ketua kampung.
Para penerima pencen dan elaun yang ingin memilih kaedah pembayaran melalui bank dikehendaki untuk mengisi borang permohonan yang boleh didapati di semua cawangan JAPEM seluruh negara atau pun dimuat turun melalui laman sesawang KKBS. Borang permohonan yang lengkap diisi boleh dihantar melalui e-mel bahagian.pencen@japem.gov.bn atau peti khas di Ruang Legar, Tingkat 1, Bangunan KKBS.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkhidmatan tersebut orang ramai boleh menghubungi talian Kebajikan 141.