Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelaksanaan PPCP bagi projek skala kecil dipertimbang

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan pelaksanaan model Kerjasama Komuniti Awam-Swasta (PPCP) bagi projek-projek berskala kecil dalam sektor-sektor keutamaan negara.

    Perkara berkenaan dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Chong Chin Yee dalam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan ke-21 MMN, hari ini.

    Menurut Yang Berhormat Dato, pelaksanaan model Kerjasama Awam-Swasta (PPP) merupakan salah satu kaedah pembiayaan alternatif yang telah diguna pakai di negara ini bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan, serta memastikan penyampaian perkhidmatan awam dan pembangunan infrastruktur yang lebih cekap, berkesan dan berdaya kos.

    “PPP juga membolehkan pihak kerajaan memanfaatkan kepakaran sektor swasta dalam pelaksanaan projek serta kesanggupan mereka untuk berkongsi risiko dalam pelaksanaan projek atau perkhidmatan,” ujarnya.

    Jelasnya lagi, MOFE melalui Jawatankuasa Khas Pengkorporatan dan Kerjasama Awam Swasta (JKPKAS) amat menggalakkan sebarang projek berimpak tinggi dan bernilai tambah tinggi untuk dilaksanakan melalui kaedah PPP. Buat masa ini, tiada had minimum atau maksimum yang ditetapkan bagi cadangan projek PPP dan ia juga tidak terhad kepada sektor-sektor tertentu sahaja.

    Namun begitu, kesesuaian sesuatu projek perlu dinilai dari pelbagai sudut seperti kapasiti sektor swasta tempatan, daya maju kewangan dan teknikal serta impak ekonomi, sosial dan persekitaran.

    “Kerajaan juga terbuka untuk menerima cadangan daripada pihak berkepentingan termasuk pemimpin akar umbi, persatuan, koperasi dan pihak lain untuk mempertimbangkan pelaksanaan projek-projek yang menekankan prinsip By Community, For Community,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Antara suasana semasa Persidangan MMN. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda