Friday, February 21, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelaksanaan upah minimum fasa kedua

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan Buruh dan Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPTMP) memaklumkan pelaksanaan dasar Upah Minimum bagi Fasa Kedua akan dilaratkan kepada sembilan sub-industri daripada enam industri bermula 1 April 2025.

    Enam industri yang terlibat meliputi kewangan dan insurans; kesihatan manusia dan kerja sosial; pendidikan; profesional, saintifik dan teknikal; pentadbiran dan perkhidmatan-perkhidmatan sokongan; dan penginapan dan perkhidmatan makanan.

    Menurut kenyataan Jabatan Buruh, sub-industri di bawah kewangan dan insurans merangkumi aktiviti-aktiviti perkhidmatan kewangan dan insurans, insurans semula (reinsurance) dan pembiayaan pencen kecuali jaminan sosial wajib dan ini terhad kepada aktiviti perkhidmatan kewangan dan agensi insurans utama yang dilesenkan di bawah BDCB atau Tabung Amanah Islam Brunei atau Bank Usahawan; dan juga aktiviti-aktiviti kewangan lain yang terhad kepada aktiviti kewangan yang dilesenkan di bawah BDCB atau Tabung Amanah Islam Brunei atau Bank Usahawan.

    Sementara itu, penjelasan sub-industri di bawah lima lagi industri bolehlah didapatkan di laman sesawang rasmi Jabatan Buruh iaitu www.labour.gov.bn.

    Sehubungan itu, pihak syarikat dikehendaki untuk menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis yang ditandatangani semula oleh majikan dan pekerja sama ada pekerja imigran atau tempatan dengan memasukkan kadar upah minimum yang telah ditetapkan.

    Walau bagaimanapun, pekerja yang menerima gaji yang melebihi kadar upah minimum tidak diperlukan untuk menandatangani semula perjanjian tersebut.

    Adalah menjadi kesalahan jika didapati melanggar Perintah Pekerjaan (Upah Minimum), 2025 sepertimana yang diperuntukkan di bawah Bab 148, Akta Pekerjaan (Penggal 278) iaitu mana-mana majikan yang melakukan suatu kesalahan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan suatu denda tidak melebihi $3,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi dari satu tahun atau kedua-duanya sekali.

    Bagi sebarang pertanyaan, maklumat atau aduan, orang ramai bolehlah berhubung saluran talian hotline Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh di 7298989; membuat aduan melalui NLMS: nlms.gov.bn dengan menekan ikon ‘Aduan Pelanggaran Undang-undang Perburuhan’; menghantar e-mel ke info.buruh@gov.bn atau mengetahui lebih lanjut di laman sesawang rasmi Jabatan Buruh.

    Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Pejabat Perancangan Tenaga Manusia, Jabatan Perdana Menteri di talian hotline 2444100 atau 7291785 dan mengikuti laman sesawang iaitu www.mpec.gov.bn.

    GAMBAR FAIL MEDIA PERMATA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda