Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelaksanaan vaksinasi bantu pemulihan ekonomi pasca pandemik

    Oleh Sim Y. H.

    Risiko penurunan yang ditunjukkan pada Mac 2021 oleh ASEAN+3 Macro-economic Research Office (AMRO) khususnya berkaitan dengan gangguan yang disebabkan oleh varian Delta COVID-19, telah membawa kepada semakan penurunan pada ramalan pertumbuhan ekonomi rantau ASEAN+3 oleh kakitangan AMRO bagi 2021.

    Menurut laporan yang dikemas kini, ASEAN+3 Regional Economic Outlook (AREO) 2021, yang dikeluarkan oleh AMRO pada 7 Oktober lalu, aktiviti ekonomi di rantau berkenaan kini diunjurkan untuk berkembang dengan agregat 6.1 peratus pada 2021 menurun daripada ramalan pada awal 2021 iaitu 2.6 peratus setelah mencatatkan pertumbuhan mendatar pada 2020.

    Namun begitu, ekonomi ASEAN+3 menyaksikan momentum pemulihan yang baik dan rantau berkenaan secara keseluruhannya juga dijangka akan mencatatkan pertumbuhan kukuh pada 2022 iaitu pada kadar 5 peratus dengan inflasi diunjurkan meningkat kepada 2.9 peratus pada 2022 daripada 2.4 peratus pada 2021. Selain itu, perkembangan pesat rantau berkenaan dalam melaksanakan vaksinasi akan menjadi pengubah mainan bagi mengengkang virus berkenaan serta memberikan optimisme kepada rantau itu. Setelah melalui pandemik selama setahun setengah, matlamat untuk mencapai imuniti kawanan dan perlindungan daripada virus berkenaan menerusi vaksinasi meluas menjadi satu realiti bagi rantau berkenaan walaupun jangkitan kini telah berubah daripada sebuah pandemik kepada endemik.

    Oleh itu, kombinasi vaksin dan rawatan yang berkesan serta kecekapan yang lebih baik dalam menyekat pembendungan dan dasar-dasar menyokong telah memberikan optimisme serta menyediakan lebih pencerahan bagaimana keadaan norma baharu pasca pandemik.

    “Jalan menuju pemulihan adalah diturap dengan vaksinasi,” jelas Ketua Ekonomi AMRO, Hoe Ee Khor semasa taklimat media mengenai AREO yang diadakan secara maya, kelmarin.

    Hoe Ee Khor memberikan penerangan kepada para media semasa taklimat mengenai laporan, ASEAN+3 Regional Economic Outlook (AREO) 2021, yang dikeluarkan oleh AMRO.

    Hoe Ee Khor dan Li Lian Ong memberikan penerangan kepada pihak media dalam taklimat yang diadakan secara maya.

    Beliau menambah lagi bahawa dengan sebilangan besar ekonomi serantau berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran vaksinasi mereka menjelang awal 2022, kita menjangka rantau ASEAN+3 akan berkembang sebanyak 5 peratus pada 2022 iaitu unjuran yang lebih baik daripada unjuran pada Mac lalu. Rantau berkenaan juga sedang menyesuaikan diri serta belajar untuk berfungsi dalam persekitaran yang tidak menentu di mana pandemik itu telah merubah cara perniagaan dan pengguna berurusan, mempercepatkan pendigitalan dan menerajui kemunculan model perniagaan serta jenis perusahaan yang baharu.

    Laporan itu, jelasnya lagi, turut menyatakan bahawa sentimen pembuatan terus kekal lebih tinggi daripada apa yang dilalui pada tahun lalu dengan perubahan permintaan global yang kuat untuk produk-produk elektronik dan pengguna yang memberikan manfaat kepada eksport industri pembuatan rantau berkenaan serta juga menyokong pemulihan. Selain daripada itu, kadar jangkitan yang dilihat semakin menurun di kebanyakan negara di rantau berkenaan juga memberikan petunjuk yang baik kepada penggunaan masa hadapan.

    Manakala itu, perlindungan dan imuniti yang meningkat juga akan membolehkan perjalanan untuk dimulakan kembali dengan pelancaran gelembung, koridor dan sandboxes bagi pengembara yang di vaksinasi dengan mengambil kira penentukuran berterusan mengenai kadar pembukaan itu. Dalam taklimat itu, Khor turut menyatakan bahawa dalam usaha pemulihan ekonomi dan juga semasa penularan pandemik berkenaan, tidak dinafikan bahawa terdapat industri yang lebih terkesan berbanding industri yang lain di mana sebagai contoh, industri pelancongan yang terjejas teruk semasa penularan pandemik.

    Walaupun terdapat pemulihan dalam industri berkenaan tetapi ia masih pada kadar yang rendah di mana sesetengah negara mengambil pendekatan berhati-hati serta membuka industri berkenaan secara perlahan-lahan. Kembali kepada pertumbuhan ASEAN+3, trajektori pertumbuhan rantau berkenaan bergantung pada sejauh mana kejayaan rantau itu dapat beralih kepada norma baharu endemik sambil menangani parut ekonomi yang ditinggalkan oleh pandemik itu. Kesan buruk pandemik itu ke atas rantau berkenaan juga telah dikurangkan dengan tindakan dasar yang belum pernah disaksikan sebelum ini di mana ekonomi-ekonomi berkenaan telah mula menunjukkan pemulihan yang baik dengan langkah-langkah yang diperkenalkan mula dikurangkan.

    Tetapi, dengan virus itu yang mudah berubah menjadi lebih berjangkit dan kemungkinan munculnya varian yang lebih tahan vaksin, dasar-dasar yang digubal perlu lincah dan cepat berubah selari dengan perubahan virus berkenaan.

    Dalam taklimat itu, Ketua Kumpulan Pemantauan Kewangan dan Serantau AMRO, Li Lian Ong berkata bahawa mengurangkan sokongan pandemik memerlukan usaha pengimbangan yang terancang bagi ASEAN+3 pada 2022.

    Jika mereka menarik balik sokongan itu dengan terlalu cepat ia akan berisiko untuk menggelincirkan pemulihan, jika menarik balik terlalu perlahan ia akan berisiko mendorong perniagaan dan sektor yang tidak berdaya maju yang akan membawa kepada perbelanjaan fiskal yang besar, ulasnya lagi. Langkah-langkah dasar yang khusus perlu diteruskan bagi menyokong sektor yang terjejas teruk bagi mengurangkan kesan yang boleh membawa kepada ketidakseimba ngan berpanjangan dan ketidaksaksamaan sosial serta dapat memudahkan peralihan ke arah ekonomi digital yang baharu. Oleh itu, sebarang penarikan balik sokongan dasar memerlukan penelitian yang berhati-hati di antara mengekalkan ruang dasar yang sedia ada dan menyokong pemulihan itu. Bagi mencapai kedua-dua matlamat itu, ia memerlukan pelaksanaan kempen vaksinasi yang berjaya, sistem penjagaan kesihatan yang lebih kukuh serta transformasi tenaga kerja dan industri untuk menangani cabaran-cabaran yang didedahkan oleh pandemik itu dan bagi merebut peluang-peluang dalam norma baharu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda