Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelaku rasuah, gelap wang dibicarakan

    HANOI, Vietnam, 8 Jan – Vietnam hari ini memulakan satu perbicaraan rasuah utama ke atas defendan yang membabitkan bekas pegawai kanan Komunis dan bekas eksekutif minyak oleh kerajaan Vietnam yang dituduh merampas dari Jerman.

    Bekas anggota Politburo Dinh La Thang, 57, pernah menjadi pengerusi syarikat tenaga gergasi negara, PetroVietnam dan dituduh “sengaja melanggar peraturan pengurusan ekonomi negara, menyebabkan kesan yang serius” atas peranan beliau dalam menganugerahkan satu kontrak kepada Syarikat Pembinaan Saham Bersama PetroVietnam, atau PVC, untuk membina kilang termoelektrik tanpa proses bidaan yang sepatutnya.

    Dia turut didakwa memberikan wang pendahuluan sebanyak AS$67 juta kepada PVC, dan tidak menggunakan wang tersebut dengan tujuan yang betul, menyebabkan kerajaan mengalami kerugian berjumlah AS$5.5 juta.

    Thang, bekas anggota Politburo pertama yang menghadapi pendakwaan dalam beberapa dekad, menghadapi hukuman penjara 20 tahun jika disabitkan bersalah.

    Trinh Xuan Thanh, 51, bekas pengerusi PVC, dituduh dengan pertuduhan yang sama serta penggelapan wang berjumlah AS$186,000 daripada loji termoelektrik lain. Kesalahan penggelapan wang membawa kepada hukuman mati.

    Trinh Xuan Thanh muncul di mahkamah di Hanoi, Vietnam, hari ini. Thanh pernah menjadi pengerusi syarikat PetroVietnam telah dituduh melanggar peraturan pengurusan ekonomi negara itu dan didakwa menyebabkan kerajaan kerugian bernilai AS$5.5 juta. – AP

    Pada Ogos, Jerman menuduh perkhidmatan perisikan Vietnam menculik Thanh dari taman di Berlin. Vietnam menafikannya, dengan berkata Thanh secara rela menyerah diri kepada polis, namun kejadian tersebut telah menjejaskan hubungan dua hala membawa Jerman mengusir dua orang diplomat Vietnam.

    Perbicaraan hari ini membabitkan dua lelaki dan 20 defendan lain yang kebanyakannya terdiri daripada eksekutif minyak sekarang dan sebelumnya, termasuk tiga bekas pengerusi PetroVietnam yang lain.

    PetroVietnam dan sektor perbankan telah menjadi tumpuan bagi tindakan keras ke atas rasuah di bawah pengawasan Setiausaha Agung Parti Komunis Nguyen Phu Trong, yang dipilih semula untuk penggal lima tahun lagi pada awal 2016 di kongres parti. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda