SOFIA, 29 April – Rancangan Presiden Perancis Emmanuel Macron untuk percukaian digital Kesatuan Eropah (EU) yang menyasarkan syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat (AS) seperti Google atau Facebook menghadapi halangan semalam, sekali gus menimbulkan kemarahan daripada Paris.
Menteri-menteri kewangan daripada 28 negara anggota EU membincangkan satu cadangan kontroversi yang bertujuan mendapatkan bahagian wang yang lebih besar berjumlah berbilion euro daripada syarikat multinasional AS yang memindahkan pendapatan di Eropah untuk membayar kadar cukai yang lebih rendah.
Kebanyakan negara menyatakan rasa waswas disebabkan bimbang pelaburan teknologi tinggi, tetapi juga membangkitkan kemarahan Presiden AS Donald Trump sementara ancaman perang perdagangan EU-AS masih wujud.
“Kami tidak membatalnya, tetapi kami tidak mahu penyelesaian sendirian yang tidak berkesan,” kata Menteri Kewangan Luxembourg Pierre Gramegna ketika tiba untuk rundingan di Sofia, Bulgaria.
“Saya akan mendesak supaya kami berunding dengan Amerika dengan segera jika tidak ia mungkin membawa kepada perbalahan dengan Amerika, mengetahui kami telah pun menghadapi retorik perang perdagangan,” tambahnya.

Luxembourg menjadi ibu pejabat EU untuk Amazon dan bersama dengan pusat Facebook dan Apple di Ireland, benci melihat syarikat teknologi AS itu menarik diri.
Sementara itu, satu sumber Eropah berkata respon yang tidak memberangsangkan itu, yang juga termasuk Jerman, menimbulkan ‘kemarahan dingin’ daripada Perdana Menteri Perancis Bruno Le Maire yang bertanya menteri-menteri sama ada Eropah akan menjadi ‘kuat atau tidak.’
“Satu perkara yang saya pelajari di AS bersama Presiden Macron: Warga Amerika hanya akan menghormati semangat perpaduan,” kata Le Maire dalam sesi pintu tertutup, menurut sumber tersebut.
Memujuk kesemua negara mengambil bahagian adalah penting memandangkan pembaharuan cukai di EU memerlukan kesepakatan dan sokongan Berlin juga amat penting.
Namun Menteri Kewangan Olaf Scholz dilaporkan telah mendiamkan diri ketika perdebatan sengit, walaupun beliau berkata Jerman berada di sebalik prinsip percukaian digital.
Cukai Facebook merupakan “satu soalan moral yang besar,” beritahu Scholz semasa persidangan akhbar bersama dengan Le Maire selepas rundingan.
“Tidak ada negara yang boleh menerima apa yang kami lihat hari ini di mana syarikat besar tidak dikenakan cukai,” kata Scholz. – AFP