Pelan de-escalation ke-2 bermula

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Negara Brunei Darussalam memasuki peringkat ke-2 Pelan De-escalation bermula 15 Jun (hari ini) di mana masjid, surau (termasuk dalam kompleks membeli-belah) dan balai ibadat dibenarkan untuk dibuka bagi solat lima waktu manakala restoran, kafe serta medan makanan dibenarkan beroperasi pada kapasiti tambahan iaitu 60 peratus.

Pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial berkenaan merupakan antara yang dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Yang Berhormat Dato dalam kenyataan pada sidang media berkenaan berkata, dengan mengambil kira situasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang pada masa ini adalah dalam keadaan yang terkawal, maka pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai mengenai tambahan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial yang akan bermula esok.

Beliau menerangkan bahawa tambahan berkenaan ialah memulakan aktiviti-aktiviti baharu ke tahap pertama (level 1) iaitu bagi pusat aktiviti warga emas, muzium, galeri perpustakaan dan kafe Internet, membenarkan aktiviti-aktiviti dinaikkan daripada tahap pertama ke tahap kedua iaitu masjid-masjid, surau dan balai ibadat, sekolah memandu, gim dan pusat-pusat kecergasan, fasiliti sukan indoor dan outdoor, padang golf, restoran, kafe dan medan selera serta gerai dan pasar.

Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa bagi aktiviti-aktiviti yang dinaikkan daripada tahap pertama ke tahap kedua iaitu masjid-masjid, surau dan balai ibadat akan dibukakan kepada jemaah bagi menunaikan sembahyang Fardu Jumaat dan sembahyang fardu lima waktu iaitu hanya untuk menunaikan ibadah sembahyang sahaja.

Restoran, kafe dan medan selera antara yang akan menyaksikan pelan pengurangan penjarakan sosial apabila dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus hari ini. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Ini juga termasuk bagi semua surau di kompleks membeli-belah dan surau-surau yang lain yang mana ini akan bermula pada waktu subuh, Hari Isnin, 23 Syawal 1441 Hijrah bersamaan 15 Jun 2020 Masihi,” tambahnya. Tatacara bagi menunaikan sembahyang Fardu Jumaat adalah masih sama seperti sebelumnya, jelasnya lanjut, walau bagaimanapun, bagi menunaikan sembahyang fardu lima waktu, setiap jemaah perlu mengimbas kod QR setiap kali hendak memasuki masjid.

Perlaksanaan bagi mengendalikan sembahyang Fardu Jumaat dan sembahyang fardu lima waktu adalah penjarakan fizikal dan sosial, penggunaan aplikasi BruHealth dan pengimbasan kod QR, pemeriksaan suhu badan sebelum masuk akan dilakukan dan para jemaah dinasihatkan memakai penutup mulut dan hidung serta hendaklah membawa sejadah sendiri dan mensanitasi tangan sebelum masuk masjid.

Yang Berhormat Dato berkata lagi bahawa perempuan dan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun masih ditegah untuk menghadiri sembahyang Fardu Jumaat akan tetapi dibenarkan untuk menunaikan sembahyang fardu lima waktu. Bagi sembahyang fardu lima waktu di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara, individu yang memiliki kod pendaftaran berwarna kuning adalah dibenarkan.

Sementara itu, bagi sekolah memandu, kelas bersaiz kecil boleh diadakan pada kadar 60 peratus daripada kapasiti biasa pada satu-satu masa dan syarat-syarat lain dikekalkan sebagaimana arahan serta garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Manakala itu, bagi restoran, kafe dan medan selera pula dibenarkan untuk beroperasi pada kadar 60 peratus daripada kapasiti biasa pada satu-satu masa, manakala gerai dan pasar yang menyediakan kemudahan dine-in dibenarkan untuk dibukakan bagi menampung 75 peratus daripada kapasiti dine-in biasa pada satu-satu masa.

Syarat-syarat lain dikekalkan sebagaimana arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Bagi aktiviti yang baru dibenarkan iaitu kafe Internet adalah dibenarkan untuk mula beroperasi pada kadar 30 peratus daripada kapasiti biasa pada satu-satu masa mengikut arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Sekali lagi, Yang Berhormat Dato menekankan kepada para pengunjung ke premis-premis yang dinyatakan, hendaklah mematuhi arahan dan garis panduan penjarakan sosial yang dikeluarkan oleh kementerian-kementerian yang berkenaan dan sesiapa yang mempunyai tanda-tanda jangkitan hendaklah melakukan tanggungjawab sosial masing-masing dengan tidak menghadirkan diri di premis-premis berkenaan.

“Kementerian Kesihatan juga ingin mengingatkan bahawa orang ramai adalah dikehendaki untuk mematuhi segala peraturan dan arahan yang berkaitan dengan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial tersebut.

“Sesiapa yang didapati melanggar atau ingkar akan mana-mana arahan yang telah dikeluarkan maka ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang mana jika didapati bersalah boleh membawa denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali. Kementerian ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang tidak mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan,” tegasnya lagi.