BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Pelanggan pelan jalur le-bar berkelajuan tinggi (HSBB) TelBru kini boleh mengemaskinikan pelan berkenaan secara online berikutan penambahbaikan berterusan kepada perkhidmatan untuk memberikan pengalaman lancar di seluruh platformnya.
TelBru dalam kenyataannya menjelaskan, dengan meniadakan pilihan kaunter, kemas kini dalam talian boleh dibuat menerusi aplikasi My TelBru dan My Telbru dalam talian melalui laman sesa-wangnya sebagai sebahagian daripada inisiatif syarikat berkenaan yang bermatlamat untuk memudahkan peralihan pelan jalur lebar tanpa perlu berbaris.
Dalam kurang daripada lima langkah mudah, pengguna sedia ada boleh memilih daripada senarai pelan jalur lebar TelBru dengan pelbagai cas bulanan, kelajuan lebar jalur dan kuota data, yang boleh dikemas kini segera.
Menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan ini secara eksklusif disediakan bagi pelanggan kediaman yang menggunakan sambungan gentian, yang mana mereka terlebih dahulu perlu memuat turun aplikasi My TelBru terkini menerusi Google Play Store bagi pengguna Android dan Apple Store bagi pengguna iOS atau melayari terus laman sesawang www.telbru.com.bn.
Bagi maklumat lanjut, para pelanggan digalakkan untuk menghubungi talian khidmat pelanggan atau melayari mana-mana platform media sosial TelBru.