KUALA LUMPUR, 29 MEI – Pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang bakal diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat ini akan meneruskan kerjasama antara kerajaan dan swasta bagi memastikan pelaksanaannya yang lebih lancar dan teratur.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata semua kementerian telah bertemu dengan pihak berkepentingan bagi melihat kemungkinan dan maklum balas untuk membolehkan kerajaan membuat keputusan yang relevan bagi membantu pelbagai sektor.
“Pakej rangsangan bantuan prihatin yang diumumkan sebelum ini yang sebahagiannya mempunyai tempoh tamat tiga dan enam bulan, akan tamat tempoh dalam jangka terdekat.
“Manakala pelan pemulihan yang bakal diumumkan akan melihat setengah pakej disambung dan beberapa inisiatif baharu diperkenalkan untuk memperkasa ekonomi.
”Apa yang penting adalah kita perlu tangkas dan dinamik kerana masa sangat pantas berlalu,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke ibu pejabat Bank Simpanan Nasional, di sini, hari ini. – Bernama