Monday, March 31, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelan pengurusan gajah dalam kurungan di Sabah dilancarkan 9 April

    KOTA KINABALU, 27 MAC – Jabatan Hidupan Liar (JHL) bersama pihak berkepentingan akan melancarkan Pelan Pengurusan Gajah Dalam Kurungan di Sabah, sempena simposium mengenai usaha konservasi gajah Pygmy pada 9 April depan.

    Jabatan Hidupan Liar dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan pelan tindakan itu, mengenai hala tuju dan tindakan yang perlu untuk mengurus gajah dalam kurungan.

    “Simposium itu akan dihadiri pihak berkepentingan, agensi kerajaan, masyarakat awam serta badan bukan kerajaan berkaitan hidupan berkenaan dan dianggarkan seramai 100 orang tetamu dijangka akan menyertai simposium berkenaan,” menurut JHL dalam kenyataan itu.

    Simposium yang berlangsung selama tiga hari itu juga, akan membincangkan mengenai pelaksanaan tindakan dalam Pelan Tindakan Gajah Borneo bagi tempoh lima tahun akan datang, termasuk sebarang perubahan mahupun penambahan dalam pelan itu.

    Pada 2020, kerajaan negeri Sabah meluluskan Pelan Tindakan Gajah Negeri Sabah 2020-2029 dalam usaha untuk memastikan hidupan liar itu tidak pupus di bumi Sabah.

    Pelan tindakan 10 tahun itu diluluskan pada mesyuarat Kabinet negeri, bagi memulihara dan melindungi populasi gajah di negeri ini yang dianggarkan dalam julat 1,500-2,000 ekor.

    Jabatan Hidupan Liar berkata melalui simposium itu juga keberkesanan usaha konservasi yang telah dilaksanakan berdasarkan Bornean Elephant Action Plan (BEAP) akan dinilai semula bagi memastikan tindakan pengurusan dan konservasi selari dengan isu-isu semasa. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda