Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Kementerian Pertahanan hari ini melancarkan Buku Pelan Pengurusan Jabatanarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja (JPPK) yang berfungsi sebagai hala tuju untuk meningkatkan proses pentadbiran dan kecekapan teras profesional JPPK dalam tempoh lima tahun yang akan datang bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan mereka dalam kementerian dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Pelancaran buku yang diselajurkan dengan penyampaian Sijil Pengurusan Kualiti ISO 9001: 2015 kepada JPPK telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang diadakan di Dewan Wira Seni, Bangunan Pancaragam ABDB, Bolkiah Garison, hari ini.
Turut hadir ialah Pemangku Pemerintah ABDB, Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad; Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah; dan Pengerusi/Pengarah Bureau Veritas Brunei, Dr Haji Kamaruddin bin Dato Seri Paduka Haji Talib.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa berucap pada majlis itu berharap agar buku tersebut akan menjadi satu roadmap dan sumber rujukan utama yang bertujuan untuk merealisasikan visi jabatanarah tersebut iaitu untuk menyediakan infrastruktur bagi Kementerian Pertahanan yang berkualiti, mapan dan pintar.
“Dengan adanya pelan ini setentunya akan dapat membantu JPPK dalam menyediakan pengurusan tenaga kerja yang kukuh dan bertanggungjawab, bahagian kemajuan projek yang berkesan dan inovatif serta bahagian pemuliharaan estet yang responsif dan berdaya tahan,” jelasnya.


Menteri Pertahanan II juga berharap agar dapat menyaksikan sumbangan dan kemajuan ke arah objektif JPPK, di mana pelancaran buku pelan pengurusan tersebut akan dapat memfokuskan dan memenuhi keperluan pengguna dan seterusnya meningkatkan perkhidmatan sepenuhnya untuk lebih menyokong ABDB bagi jangka masa panjang.
Di samping itu, Yang Berhormat Pehin menambah, buku tersebut merupakan titik permulaan dalam menyediakan asas bagi dasar pembangunan dan pemuliharaan di perkhemahan-perkhemahan dalam jangka masa panjang.
“Saya percaya dan yakin dengan penyampaian sijil itu juga merupakan pengesahan dan pengiktirafan bahawa JPPK telah mematuhi piawaian antarabangsa yang dapat melaksanakan strategi-strategi dalam ‘DDWS Management Plan’ dengan lebih efektif untuk membolehkan pencapaian matlamat dan objektif-objektif Kementerian Pertahanan,” tambahnya.
Beliau juga menyeru kepada semua pegawai dan kakitangan JPPK di semua perkhemahan supaya akan dapat memahami dan seterusnya melaksanakan langkah-langkah dalam pelan tersebut untuk mempersiapkan diri untuk transformasi atau berhijrah ke arah organisasi yang lebih dinamik dan berpotensi dalam mengekalkan imej perkhemahan-perkhemahan tentera yang boleh dipercayai, dipandang tinggi dan bebas daripada pencemaran dan pada masa yang sama membolehkan perlaksanaan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.
Sebagai sebahagian usaha Kementerian Pertahanan untuk bekerja rapat bersama agensi dan kementerian lain dalam pendekatan keseluruhan kerajaan, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Dr Rohaniyati binti POKS DSP Haji Mohd Salleh dan Pemangku Jurutera Kerja Kanan dari Jabatan Perancangan dan Pengurusan Estet di Kementerian Pendidikan, Awang Iskandar bin Haji Timbang telah dijemput untuk berkongsi pengetahuan mengenai Pelan Pengurusan dan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001: 2015.
Terdahulu Pengarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja, Hajah Marliyana binti Haji Abdullah Fung selaku pengerusi majlis dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001: 2015 yang dianugerahkan kepada JPPK mengesahkan bahawa jabatanarah tersebut telah menunjukkan kemampuannya dalam menyediakan secara konsisten produk dan perkhidmatan yang sewajar dengan piawaian antarabangsa, melaksanakan strategi yang dirancang secara berkesan dan mempunyai sistem pengurusan yang boleh mencapai matlamat, objektif dan keperluan kementerian.
Ini merupakan kali kedua JPPK telah mencapai pensijilan ISO 9001, setelah menerima pensijilan ISO 9001: 2008 pada tahun 2009.