Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pelan semikonduktor perkukuh kedudukan Malaysia

    KUALA LUMPUR, 1 MEI – Pembentukan pelan semikonduktor yang komprehensif adalah tepat pada masanya untuk Malaysia menjamin kedudukan di barisan hadapan rantaian bekalan global, kata Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Loo Lee Lian.

    Beliau berkata elemen alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) seperti pelepasan karbon sifar bersih serta tenaga lestari dan air, perlu dipatuhi berdasarkan pelan itu.

    Beliau berkata kejayaan pelan itu bergantung kepada ketersediaan bakat dan meliputi pelan tindakan bakat kebangsaan untuk memenuhi strategi modal insan yang sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

    Loo berkata visi pelan itu perlu membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan tenaga kerja dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi menyokong perkembangan pesat industri semikonduktor.

    Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai turut berkata pelan itu perlu memupuk dan meningkatkan daya saing perusahaan tempatan di peringkat antarabangsa.

    Pengeluaran automatik produk wafer semikonduktor di sebuah syarikat di China pada Ogos 2023. Pelan semikonduktor yang komprehensif boleh menguntungkan Malaysia. – Xinhua

    Wong juga berharap kerajaan dapat menambah baik jaringan infrastruktur bagi menyokong keperluan teknologi tinggi industri semikonduktor dan memastikan pengembangan perniagaan yang lancar dalam sektor tersebut.

    Ini mungkin melibatkan penambahbaikan kesalinghubungan dan akses digital bagi memastikan operasi yang cekap dan tidak terganggu untuk pembangunan dan pembuatan berteknologi tinggi, katanya lagi.

    Pada 16 April, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelan itu akan merangkumi pakej insentif yang lebih menarik untuk menarik pelaburan strategik dalam semikonduktor berteknologi tinggi, khususnya untuk menggalakkan aktiviti dalam industri tersebut di Malaysia.

    Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelan itu sejajar dengan inisiatif di bawah NIMP 2030.

    Malaysia yang disenaraikan di kedudukan keenam dunia bagi eksport semikonduktor dilaporkan menguasai 7 peratus bahagian pasaran global. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...