Saturday, February 15, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelan strategik kukuh sistem pendidikan negara

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2023-2027 yang dilancarkan baru-baru ini, menumpukan kepada tiga matlamat strategik dengan matlamat strategik pertama iaitu memupuk pelajar siap siaga masa hadapan.

    “Ia memberikan tumpuan kepada usaha untuk melahirkan pelajar siap siaga masa hadapan dengan kemahiran dan keupayaan berinovasi, mempunyai keupayaan untuk menciptasama, menjalani kehidupan, bekerja bagi menghadapi masa hadapan yang sentiasa berubah serta menyumbang sebagai ahli masyarakat yang aktif.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat) di Kementerian Pendidikan, Profesor Dr Noor Azam bin OKMB Haji Othman dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Demo Day Projek Bootcamp ke-3 bagi Program Pra-Vokasional 2023 yang berlangsung di Bangunan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini.

    Dalam hubungan itu, ulasnya, memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar merupakan salah satu daripada tujuh objektif strategik yang telah disasarkan dalam menyokong Matlamat Strategik 1.

    Beliau berkata, “Kepentingan pendidikan asas keusahawanan yang diterapkan kepada pelajar-pelajar sama ada di peringkat rendah atau menengah merupakan pendekatan terbaik dalam mengenalkan keberkesanan pengurusan wang.”

    Profesor Dr Noor Azam menyampaikan ucapannya semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Profesor Dr Noor Azam seterusnya berkata, Projek Bootcamp yang dijalankan sejak 2021 merupakan salah satu inisiatif Jabatan Pendidikan Khas dengan kerjasama Pusat Keusahawanan Inovasi dalam memperkembangkan pengetahuan pelajar berkeperluan khas, khususnya pelajar Program Pra-Vokasional kepada bidang keusahawanan dan inovasi.

    Melalui program itu, pelajar-pelajar berkeperluan khas dapat meningkatkan keyakinan diri melalui aktiviti berorientasikan kerja berpasukan, pembentangan program, pelaksanaan dan melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif dalam bidang-bidang vokasional yang kemudiannya akan menjadi hasil pendapatan melalui keusahawanan dan kebolehpasaran dalam pekerjaan.

    Beliau menyatakan pelajar-pelajar berkenaan telah menunjukkan kebolehan mereka dalam menghasilkan produk yang terbaik dengan bimbingan guru-guru home room (HRT) dan guru pengawas.

    “Mereka dilibatkan bermula daripada proses pembinaan produk, menghasilkan produk dan seterusnya kepada jualan produk,” tambahnya.

    Jelas Profesor Dr Noor Azam, “Ini terbukti apabila mereka berkebolehan dalam memberikan dan membentangkan idea untuk menghasilkan prototaip produk sama ada dalam bentuk makanan dan minuman, barang-barang kraf tangan atau memberikan perkhidmatan.”

    Beliau menyatakan bahawa semua itu membuktikan bahawa pelajar-pelajar berkeperluan khas juga mempunyai kepelbagaian kemahiran serta dapat memberikan saingan kepada orang ramai jika diberikan peluang yang sama.

    “Saya berharap, ilmu keusahawanan yang telah pelajar peroleh melalui program ini, dapat digunakan dalam kehidupan seharian mereka sama ada di sekolah mahupun selepas waktu persekolahan kelak,” ujarnya.

    Beliau berkata lagi, “Ini boleh dijadikan detik permulaan perniagaan mereka untuk menjadi sebagai seorang start-up.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda