Pelan strategik pembangunan industri tuna dilancar

LABUAN, 22 NOV – Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi 2021-2030 dengan enam teras utama – meningkatkan industri perikanan tuna negara dilancarkan di pulau bebas cukai ini di sini hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata pelan itu adalah kesinambungan kepada pelan strategik seumpamanya dilancarkan 19 tahun lepas sejak 2002 dan kini ia menumpukan kepada peningkatan pendaratan tuna dari tiga lautan berkenaan.

Beliau berkata pelan strategik itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan memenuhi pembangunan industri perikanan laut dalam dan selaras dengan hasrat Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang dilancarkan pada Oktober lepas.

“Pelan strategik ini menyasarkan ‘outcome’ kompetitif bagi memastikan pembangunan industri tuna negara dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif melalui pertambahan vesel atau kapal laut dalam dan tuna yang beroperasi di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia dan laut lepas serta peningkatan pendaratan tuna di Malaysia kepada 150,000 tan metrik,” katanya ketika melancarkan pelan strategik itu.

Beliau berkata sasaran lain adalah pembangunan kapal moden perikanan laut dalam dan tuna secara bersepadu, pematuhan resolusi domestik dan antarabangsa kepada sekurang-kurangnya 85 peratus, dan peningkatan pasaran produk berasaskan tuna bernilai tinggi di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Pelan strategik ini juga membantu memangkin pembangunan industri tuna melalui pelaburan swasta, membangunkan industri perikanan tuna secara mampan dan memenuhi piawaian antarabangsa, membangunkan modal insan dalam perikanan tangkapan dan pemprosesan tuna serta memantapkan sistem pengembangan dan pembangunan teknologi,” katanya. – Bernama

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri RonaldKiandee (tengah) menyemprunakan Program Pelancaran Buku Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna kelmarin. – Bernama