Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelan strategik Yayasan terus diteliti

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah pun berusia 30 tahun pada 5 Oktober 2020 dan kini memasuki dekad keempat penubuhannya.

    Dalam dekad keempat ini, Yayasan telah bergerak dengan berpandukan kepada Pelan Strategik Yayasan 2020-2025 yang telah dilancarkan pada 5 Mac 2020 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Sesuai dengan sifatnya sebagai living document, Jawatankuasa Pandu Pelan Strategik telah bersidang bersama para peneraju yang mana segala perkembangan dan pencapaian bagi pelan-pelan tindakan telah diteliti dan seterusnya dibincangkan bagi menjurus ke arah pengemaskinian dan adaptasi pelan-pelan tindakan berkenaan sesuai dengan keadaan semasa.

    Perkara tersebut antara yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dalam sembah alu-aluannya pada Mesyuarat Jemaah Tadbir Yayasan di Bilik At-Taqwa, Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, hari ini.

    “Perbincangan ini akan diteruskan lagi bersama para stakeholder dalam masa terdekat sebelum kajian menyeluruh penelitian separuh penggal pelan strategik berkenaan dapat dilengkapkan,” tambahnya.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menyampaikan sembah alu-aluannya pada mesyuarat tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan mengenai Kompleks Yayasan, yang mana pada Mesyuarat Jemaah Tadbir sebelum ini telah menyembahkan mengenai kerja-kerja pembaikan sebelum kemasukan semula Gedung Membeli-belah Hua Ho.

    Selain itu cadangan pengubahsuaian tingkat dua dan tiga menjadi dewan perkahwinan dan acara yang dinamakan Dewan An-Naura, kedua-dua projek ini telah selesai dilaksanakan dan telah digunakan.

    “Dengan beroperasinya Gedung Membeli-belah Hua Ho dan Dewan An-Naura ini sedikit sebanyak telah dapat menarik semula orang ramai untuk berkunjung ke kompleks ini,” jelasnya.

    Yang Berhormat Pehin turut menyembahkan satu lagi tarikan yang telah diusahakan oleh pihak Pengurusan Wadah Amal Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Yayasan ialah Yayasan Food Street di kawasan Open Plaza kompleks berkenaan dan ia dibuka hampir setiap hari pada sebelah petang dan malam.

    Aktiviti ini telah berjaya menghidupkan kembali suasana malam di ibu negara selain gerai jualan, yang turut diisikan dengan pelbagai aktiviti dan permainan untuk pengunjung.

    Sementara itu, Yang Berhormat Pehin turut menyembahkan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan Kampung Bolkiah, dan peranan dan tanggungjawab pemilik rumah untuk menjaga dan memelihara rumah masing-masing.

    Dalam sembah alu-aluan Yang Berhormat Pehin turut menyembahkan berkaitan perkembangan Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di mana galeri tersebut telah mendapat tempat sebagai salah sebuah pusat tarikan pelancongan di negara ini, sejak ia dirasmikan.

    “Sebagai perancangan ke hadapan, pihak pengurusan Yayasan dalam usaha untuk memanfaatkan memorandum-memorandum persefahaman yang telah ditandatangani, khususnya dengan OIC Research Centre for Islamic History, Art and Culture (IRCICA), Republik Turkiye dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bagi penganjuran sebuah simposium bertaraf antarabangsa, iaitu Simposium Kaligrafi Antarabangsa 2024.

    Yang Berhormat Pehin dalam sembah alu-aluannya mengongsikan simposium itu dijangka akan diadakan pada Oktober 2024 sempena Hari Ulang Tahun Penubuhan Yayasan yang mana ia akan diisikan de-ngan forum, bengkel, pertandingan dan pameran.

    Di akhir sembah alu-aluan, Yang Berhormat Pehin telah menyembahkan mengenai perkembangan projek pembinaan Masjid Jubli Emas.

    “Satu jawatankuasa ad hoc telah ditubuhkan pada penghujung Oktober 2021 bagi memikirkan semula cadangan pembinaan Masjid Jubli Emas yang diterajui oleh pihak Pejabat Paduka Ayahanda Duli Tuanku,” jelasnya.

    Jawatankuasa itu antara lain telah membincangkan mengenai cadangan pembinaan Masjid Jubli Emas yang bersesuaian dengan signifikan nama dan peristiwa Jubli Emas berkenaan
    khususnya dari segi rekaan dan kos pembinaannya.

    “Cadangan untuk membina masjid berkenaan di Daerah Temburong masih tidak berubah.

    Dalam hal ini, sebarang perkembangan lanjut mengenai projek ini akan disembahkan kemudian,” tambahnya.

    Antara agenda yang dibincangkan di mesyuarat itu termasuk Laporan Tahunan Kewangan 2023 dan Laporan Kemajuan Audit Dalaman Yayasan; Laporan Sumbangan dan Bantuan bagi tahun 2023 dan seterusnya Perancangan Yayasan bagi tahun 2024.

    Selain itu, Laporan Perkembangan Projek Khas iaitu Pengurusan Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi Bulan Ramadan 1445/2024 turut dibincangkan.

    Hadir pada acara berkenaan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris selaku Timbalan Pengerusi I; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, selaku Timbalan Pengerusi II; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, selaku ahli-ahli Jemaah Tadbir.

    Turut hadir ke mesyuarat berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda