Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sedang mengkaji semula Pelan Tindakan Keluarga Tahun 2023-2027 untuk memastikan pelan tindakan berkenaan diteliti secara menyeluruh dan disejajarkan dengan hala tuju dan pengisian Pelan Tindakan Sosial Negara Brunei Darussalam.
Pengkajian semula itu adalah juga bagi lebih memperincikan tindakan yang perlu diambil oleh agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam membantu meningkatkan kedudukan dan kesejahteraan institusi kekeluargaan di Negara Brunei Darussalam.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad ketika menerangkan strategi yang dilaksanakan dalam peruntukan KKBS Tahun Kewangan 2023/2024 pada permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa penyelidikan mengenai pembangunan wanita di Negara Brunei Darussalam telah selesai dilaksanakan dan kini dalam proses akhir iaitu penyediaan laporan akhir yang merangkumi rekomendasi-rekomendasi dasar serta inisiatif bagi menangani isu-isu utama yang menjejaskan dan menghalang pembangunan wanita di Negara Brunei Darussalam terutama mengenai mata pencarian ekonomi mereka dan keseimbangan kerja-kehidupan.
“Ini adalah penting ke arah memastikan institusi kekeluargaan yang kukuh. Antara penemuan utama penyelidikan berkenaan ialah walaupun pembangunan wanita di negara ini telah mencapai peningkatan yang ketara, masih terdapat beberapa bidang yang memerlukan penelitian dasar bagi memastikan kaum wanita negara dapat mencapai potensi penuh dan optimum.”
Yang Berhormat Dato turut menyatakan bahawa kementeriannya akan mewujudkan Pelan Tindakan Sosial bersama Jabatan Perdana Menteri sebagai pelengkap kepada hala tuju dan penyejajaran usaha sama senegara Wawasan Brunei 2035 dalam mencapai matlamat kedua iaitu Kualiti Kehidupan Rakyat yang Tinggi.
Di samping itu, beliau turut menerangkan Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan pula menggariskan strategi dan inisiatif bertujuan untuk meningkatkan kedayatahanan dan ekonomi golongan sasaran yang mandiri untuk keluar daripada kitaran kemiskinan
serta mengurangkan ketergantungan kepada kerajaan.
Pada masa yang sama, pengemaskinian Garis Panduan Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) juga dilaksanakan, untuk memastikan program intervensi yang lebih berkesan, pemedulian dan memenuhi keperluan.



