Monday, March 3, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelancar satelit Eropah sedia untuk misi komersial pertama

    PARIS, 2 MAC – Setelah beberapa kali ditangguhkan, roket pelancar Ariane 6 Eropah akan melaksanakan misi komersial pertamanya esok dengan meletakkan satelit risikan tentera Perancis ke angkasa.

    Pelancaran dari pangkalan Kourou di Guiana Perancis itu amat penting dalam usaha Eropah untuk membina autonomi keselamatannya, di tengah kejutan yang timbul daripada pemulihan hubungan diplomatik antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia.

    “Seluruh dunia sedang memerhatikan kami,” kata Ketua Eksekutif Arianespace, David Cavailloles kepada AFP pada bulan ini.

    Ariane 5 telah dihentikan operasinya pada 2023 dan Eropah tidak lagi dapat menggunakan roket Soyuz milik Rusia untuk pelancaran satelit sejak pencerobohan Rusia di Ukraine pada 2022.

    Ariane 6 telah menjalani ujian berjaya pada Julai tahun lalu dan dijadualkan untuk melakukan lima pelancaran pada tahun ini.

    Gambar menunjukkan roket pelancar satelit Agensi Angkasa Eropah (ESA) Ariane 6 dari pangkalan pelancarannya, di Pusat Angkasa Guiana di Kourou, Guiana Perancis, pada 9 Julai lalu. – AFP

    Pelancaran yang asalnya dijadualkan pada Disember lalu, telah ditunda ke 26 Februari dan kemudian 3 Mac akibat masalah pengangkutan satelit ke pangkalan Kourou, menurut Arianespace.

    “Setiap pelancaran mempunyai risiko. Masalah boleh berlaku pada pelancar, pada satelit. Kami pastikan semuanya sedia dan jika ia memerlukan beberapa minggu tambahan atau beberapa bulan, ia bukan masalah,” kata Lionel Suchet, Ketua Pusat Kebangsaan Kajian Angkasa Perancis (CNES).

    Memandangkan peranan tentera satelit yang akan dilancarkan, langkah keselamatan ketat diambil untuk mengehadkan akses di pangkalan, sementara tiga pesawat pejuang Rafale akan melakukan rondaan di udara sekitar.

    “Satelit ini perlu dilindungi. Ia mempunyai instrumen khas yang tidak boleh dilihat oleh sembarang orang,” kata Catherine Leveau, Pengarah Pengangkutan Angkasa CNES.

    Satelit CSO-3 itu akan melengkapkan rangkaian tiga satelit tentera Perancis, dengan dua satelit pertama dilancarkan pada 2018 dan 2020 menggunakan roket Soyuz. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda