Oleh Sim Y. H.
TEMBURONG, 13 JULAI – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah meneruskan penambahan terbaharu dalam siri pusat BIBD Connects dengan melancarkan satu lagi pusat kemudahan di Daerah Temburong pagi tadi.
Pelancaran berkenaan menandakan hab ketiga seumpamanya dilancarkan di seluruh negara dan mencerminkan usaha berterusan dalam meningkatkan penglibatan masyarakat dan keterangkuman kewangan di seluruh negara di bawah konsep Menghubungkan Masyarakat (Connecting the Community).
Sehubungan dengan itu, pusat BIBD Connect tersebut dirasmikan dalam majlis yang disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pengerusi BIBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri, ahli-ahli Lembaga Pengarah BIBD dan Badan Penasihat Syariah serta ahli-ahli masyarakat.
BIBD Connects Temburong yang terletak di Labu Square, mengambil tempoh kira-kira sembilan bulan untuk disiapkan sejak Oktober 2024. Direka dengan kelestarian sebagai asasnya, bangunan itu mempunyai sistem panel solar 20kW untuk menjana kuasa bagi pencahayaan serta sistem tuaian air hujan, bagi mengurangkan jejak alam sekitar sambil mempromosikan kecekapan tenaga.
Ciri-ciri hijau berkenaan adalah selaras dengan komitmen meluas BIBD kepada kelestarian seperti yang disaksikan dalam rekaan mesra alam Cawangan Warisan (Heritage Branch) di Bandar Seri Begawan.
BIBD Connects Temburong mengikut jejak kejayaan pelancaran kemudahan yang serupa di Lambak dan Taman Mahkota Jubli Emas. Seperti cawangan terdahulu, hab Temburong menjadi sebagai ruang komuniti dan platform komersial yang menawarkan perkhidmatan perbankan yang mudah diakses sambil menyokong pembangunan perusahaan tempatan.
Kemudahan-kemudahan utama yang disediakan termasuk lima ruang runcit untuk disewa, tiga ruangan kontena untuk PMKS, surau dan tandas serta juga sebuah ATM bagi memudahkan akses perbankan.
Pusat itu juga mempunyai ruang kemasyarakatan yang serba boleh yang boleh digunakan bagi pasar pop-up, bengkel, acara-acara sosial dan majlis-majlis korporat, menyediakan tapak inklusif bagi penglibatan tempatan dan aktiviti ekonomi.
Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Pemangku Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek-projek Khas, Awang Zulhazransa bin Haji Emran menerangkan BIBD Connects memberikan tumpuan kepada membantu PMKS berkembang melalui platform yang disediakan untuk mengetengahkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan di samping mudah untuk dikunjungi oleh orang ramai.
Dalam hubungan itu, tambahnya, BIBD Connects memainkan peranan penting selaras dengan penubuhannya iaitu untuk menghubungkan masyarakat di mana ia boleh dimanfaatkan sebagai sebuah kemudahan untuk berniaga dengan penekanan kepada PMKS tempatan dan golongan belia.
Bersempena dengan Sambutan Ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, BIBD Connects Temburong akan menghoskan siri pasar pop-up bermula hari ini, 13 hingga 15 Julai, 18 hingga 20 Julai, 25 hingga 27 Julai dan 1 Ogos hingga 3 Ogos menawarkan sebuah platform bagi PMKS tempatan untuk mengetengahkan tawaran mereka.
BIBD Connects Temburong mencerminkan visi bank dalam insiatif Bruneian at Heart, menyokong pembangunan negara menerusi usaha-usaha mampan, inklusif dan strategik selain menyumbang kepada aspirasi negara di bawah Wawasan Brunei 2035 dengan meningkatkan infrastruktur, merangsang ekonomi setempat dan menjadi sebagai model bagi kerjasama swasta awam yang memupuk pembangunan jangka panjang di serata keempat-empat buah daerah.

Semua di atas: Antara beberapa produk yang dipamerkan semasa majlis pelancaran tersebut. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI