NEW YORK, 30 Nov – Duta AS ke PBB semalam berkata pelancaran peluru berpandu balistik rentas benua oleh Korea Utara – yang mana sesetengah pemerhati percaya boleh mencapai ke kawasan Timur AS – ‘mendekatkan kami’ dengan peperangan yang tidak diingini AS.
Nikki Haley semasa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB berkata jika peperangan terjadi akibat ‘tindakan perlanggaran’ seterusnya seperti pelancaran terbaru ini, ‘tidak dinafikan lagi rejim Korea Utara akan betul-betul dimusnahkan.”
“Diktator Korea Utara semalam telah membuat keputusan yang membawa kita kepada peperangan, tidak lebih dari itu,” kata Haley.
“Kami tidak pernah memulakan peperangan dengan Korea Utara dan hari ini kami masih tidak mencarinya.”
Pentadbiran Trump mengancam bagi mengenakan sekatan terbaru ke atas Korea Utara selepas kerajaan terasing itu memecahkan kesenyapan selama dua bulan setengah dengan ujian senjatanya yang paling kuat.
Presiden Donald Trump melalui Twitter menyatakan beliau telah bercakap dengan Presiden China Xi Jinping tentang ‘tindakan provokasi’ Pyongyang dan beliau berikrar bahawa ‘sekatan tambahan besar akan dikenakan ke atas Korea Utara hari ini. Situasi ini akan ditangani!”. Diplomat tertinggi Trump, Rex Tillerson, berkata AS mungkin menyasarkan institusi kewangan yang berurusan dengan Korea Utara.
Pada mesyuarat tergempar bersama Majlis Keselamatan, timbalan duta PBB China Wu Haitao mengulangi cadangan China-Rusia bagi Korea Utara agar menangguhkan semua ujian nuklear dan peluru berpandu, dan untuk AS dan Korea Selatan agar menangguhkan semua latihan ketenteraan mereka.
Duta Rusia ke PBB Vassily Nebenzia turut menggesa Korea Utara menghentikan ujian peluru berpandu dan menggesa AS dan Korea Selatan membatalkan latihan ketenteraan secara besar-besaran yang dijadualkan pada bulan Disember.
Haley berkata negara-negara dunia mempunyai kuasa untuk seterusnya menyisihkan dan mengundurkan haluan berbahaya Korea Utara, dengan memutuskan semua hubungan dengan negara itu dan mengenakan sekatan PBB. – AP