Thursday, March 20, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelancaran peluru berpandu cetus panik

    SEOUL, 5 OKT – Pelancaran peluru berpandu balistik yang gagal telah menimbulkan panik di bandar Korea Selatan yang biasanya tenang selepas ia terhempas ke darat dan mencetuskan api besar, kata pegawai hari ini.

    Negara sekutu keselamatan Seoul dan Washington telah mengadakan beberapa latihan bersama, termasuk latihan pengeboman dan pelancaran peluru berpandu, dalam respons terhadap ujian peluru berpandu balistik Korea Utara melepasi Jepun semalam.

    Tentera Korea Selatan menembak peluru berpandu balistik Hyunmoo-2 lewat semalam tetapi ia mengalami kerosakan dan terjatuh sejurus selepas dilancarkan.

    Bahan dorong peluru berpandu terbakar tetapi kepala pelurunya gagal meledak, beritahu pegawai tentera Korea Selatan kepada agensi berita Yonhap.

    Gambar yang tular di media sosial – yang gagal disahkan AFP – menunjukkan bola api merah di kawasan yang dikatakan pengguna terletak berhampiran pangkalan tentera udara berdekatan dengan Gangneung di pantai timur negara.

    “Ramai penduduk panik menghubungi dewan perbandaran,” beritahu pegawai di Dewan Perbandaran Gangneung kepada AFP.

    “Pada mulanya kami tidak tahu apa yang berlaku kerana kami tidak menerima sebarang notis daripada tentera mengenai latihan sedemikian,” tambahnya, bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan.

    “Saya sangka terdapatnya peperangan tetapi rupa-rupanya ia adalah latihan tentera,” kata seorang pengguna di Twitter.

    Ketua Turus Tentera Korea Selatan berkata tidak adanya laporan kemalangan dan ia sedang menyiasat punca nahas. – AP

    Gambar serahan Kementerian Pertahanan Korea Selatan menunjukkan peluru berpandu Sistem Misil Taktikal Tentera ditembak semasa latihan tentera di antara AS dan Korea Selatan di satu lokasi di Korea Selatan kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda