WASHINGTON, 13 MAC – Dua angkasawan yang terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) lebih daripada sembilan bulan mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk pulang selepas pelancaran kapal angkasa pengganti ditangguhkan.
Roket Falcon 9 yang membawa kapal angkasa Crew-10 SpaceX-Nasa sepatutnya dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, pada 7:48 kelmarin.
Namun, kira-kira 45 minit lagi sebelum pelancaran, ia dibatalkan kerana masalah teknikal.
“Terdapat masalah berpunca dari sistem hidraulik di bahagian darat,” kata jurucakap pelancaran Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) Derrol Nail, sambil menambah bahawa “roket dan kapal angkasa berada dalam keadaan baik.”
Menurut maklumat dari Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, peluang pelancaran seterusnya dijadualkan hari ini, dengan tarikh alternatif pada Jumaat.
Angkasawan Nasa, Butch Wilmore dan Suni Williams, terkandas di ISS sejak Jun tahun lalu selepas kapal angkasa Starliner milik Boeing mereka menghadapi masalah pendorong dan dianggap tidak sesuai untuk membawa mereka pulang. Starliner itu kembali ke Bumi tanpa membawa penumpang.
Wilmore dan Williams sepatutnya menjalani misi di ISS hanya selama lapan hari, tetapi mereka ditugaskan semula ke Crew-9 selepas anggota Crew-9 tiba pada September lalu menggunakan SpaceX Dragon. Crew-9 hanya membawa dua kru, bukannya empat seperti biasa, bagi memberi ruang untuk Wilmore dan Williams. – AFP
