Pelancaran Sudut Buku UNISSA di Sekolah Arab Rimba

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan dan Penerbitan dalam usahanya memperkenalkan buku-buku terbitannya telah bekerjasama dengan Sekolah Arab Rimba melalui pelancaran Sudut Buku UNISSA di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Sudut Buku UNISSA berkenaan adalah kesinambungan daripada pelancaran di tiga buah sekolah menengah Arab iaitu Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) dan Ma’had Islam Brunei.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, penubuhan Sudut Buku UNISSA di sekolah berkenaan bertujuan untuk mempromosi dan menjadikan buku-buku terbitan UNISSA sebagai bahan rujukan peringkat menengah dan tinggi di samping memberikan pendedahan awal kepada pelajar sekolah berkenaan untuk bergiat aktif dalam penulisan dan pembacaan di peringkat awal.

Sebanyak 197 judul buku telah disumbangkan pada majlis tersebut yang merangkumi pelbagai tajuk dan disiplin ilmu termasuk pengajian Islam, undang-undang, ekonomi, budaya, tamadun, pembelajaran bahasa Arab dan lain-lain jurusan yang diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Arab, Melayu dan Inggeris.

Sumbangan buku-buku berkenaan telah diserahkan oleh Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan dan Penerbitan UNISSA, Dr Ismail bin Abdullah kepada Pengetua Sekolah Arab Rimba, Haji Norhisyam bin Haji Mohd Noor.

Sudut buku berkenaan diharapkan akan menjadi pendorong dalam memupuk sifat suka mengkaji dan membaca dalam kalangan para pelajar di samping menjadi kemudahan kepada para pelajar dalam menambah baik mutu pembelajaran mereka.

Sumbangan buku serta Surat Perjanjian Sudut Buku UNISSA diserahkan oleh Dr Ismail kepada Haji Norhisyam.