JAKARTA, 24 OGOS – Pelancong asing tidak akan dibenarkan melawat Bali sehingga akhir tahun ini atas kebimbangan koronavirus, kata gabenornya, membatalkan rancangan untuk membuka pulau Indonesia itu pada bulan depan.
Pulau peranginan terkenal itu membuka semula pantai-pantai, kuil dan beberapa lagi tarikan pelancongan lain kepada pelancong domestik pada penghujung Julai lalu dan mengatakan ia akan membenarkan pelancong asing kembali pada 11 September.
Namun rancangan itu terpaksa dibatalkan atas kebimbangan peningkatan kes virus Indonesia dan ramai pelancong asing tertakluk kepada larangan perjalanan dari negara asal mereka.
Jakarta juga belum lagi membatalkan larangan ke atas pelancong asing yang memasuki Indonesia.
“Keadaan di Indonesia tidak kondusif untuk membenarkan pelancongan asing melawat Indonesia, termasuk Bali,” kata gabenor pulau itu, I Wayan Koster dalam sepucuk surat rasmi bertarikh Sabtu.
“Kerajaan pusat menyokong rancangan Bali untuk memulihkan pelancongan dengan membuka pintunya bagi pelancongan antarabangsa. Walau bagaimanapun, ia memerlukan penelitian, sikap berhati-hati dan tidak tergesa-gesa serta persediaan rapi,” tambahnya.
Dia bagaimanapun tidak memberikan tarikh baharu bagi kebenaran pelancong asing melawat pulau itu. Kekerapan penerbangan pergi dan balik ke Bali menjunam semasa pandemik global, mengakibatkan hotel-hotel dan restorannya kosong dan bergelut untuk bertahan.
Bali merekodkan 49 kematian dan lebih 4,000 kes COVID-19. – AFP
