BANGKOK, 28 APRIL – Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan Thailand mengambil tindakan tegas terhadap beberapa pelancong asing yang mengambil minuman beralkohol di dalam laut di Taman Negara Hat Noppharat Thara–Mu Ko Phi Phi, Krabi.
Ketua taman, Saengsuree Songthong, mengesahkan pelaku telah dikenakan denda, manakala pemandu bot dari Phang Nga yang menghidangkan minuman beralkohol kepada pelancong itu turut didenda 10,000 baht serta syarikat penyewa bot diberi amaran.
Ketua Pengarah jabatan tersebut mengarahkan semua pengusaha bot pelancongan dimaklumkan mengenai larangan membawa atau meminum alkohol di kawasan taman negara, selain melarang sebarang bot yang terlibat daripada memasuki taman berkenaan.
Insiden itu melanggar Akta Taman Negara 2019 dan peraturan berkaitan larangan penjualan serta penggunaan alkohol dalam kawasan taman negara.

Menurut Saengsuree, peringatan berkaitan peraturan taman negara sentiasa disampaikan melalui papan tanda serta pemberitahuan langsung kepada pengusaha pelancongan, pemandu pelancong dan pengunjung sebelum memasuki kawasan taman.
Pihak berkuasa turut bekerjasama dengan Balai Polis Pulau Phi Phi untuk menyiasat sama ada pelancong terbabit masih berada di pulau itu dan meminta orang awam serta operator pelancongan menyalurkan maklumat lanjut bagi tindakan undang-undang susulan.
Dalam pada itu, Jabatan Taman Negara merakamkan penghargaan kepada individu yang menyalurkan maklumat sehingga membolehkan tindakan pantas diambil, serta menyeru kerjasama berterusan demi melindungi khazanah semula jadi Thailand. – ANN/The Nation