Saturday, November 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelancong Jepun meningkat satu juta pada separuh pertama 2024

    TOKYO, 19 JULAI – Jepun mengalu-alukan satu juta pelancong asing pada separuh pertama 2024 berbanding tahap pra-pandemik, mencatatkan rekod baharu sebanyak 17.78 juta pelawat, menurut organisasi pelancongan negara, hari ini.

    Mata wang yen yang lemah menarik ramai pelancong ke Jepun, dengan pekancong berbelanja besar ke atas barangan seperti kimono, pisau dan hidangan mewah.

    Angka dari Januari hingga Jun mengatasi rekod tertinggi sebelumnya pada 2019 sebanyak 16.63 juta, yang telah menimbulkan kebimbangan mengenai kesesakan di tempat-tempat popular seperti Kyoto dan Gunung Fuji.

    “Adalah penting untuk kita mempromosikan kawasan luar bandar kepada pelawat, sementara mengambil langkah-langkah menentang pelancongan berlebihan,” kata Perdana Menteri, Fumio Kishida dalam mesyuarat kabinet mengenai usaha negara untuk memperluaskan ketibaan pelancongan.

    Jepun menjangkakan 35 juta pelawat asing pada 2024, dengan anggaran perbelanjaan pelancong sebanyak lapan trilion yen (AS$50 bilion).

    Gambar menunjukkan pelancong menaiki bot semasa Festival Suigo Sawara Iris di Taman Suigo Sawara Ayame di utara Tokyo pada 26 Mei lalu. – AFP

    Sepanjang 2023, seramai 25 juta pelawat datang ke Jepun selepas sekatan sempadan era pandemik yang ketat ditarik balik.

    Negara tersebut telah menetapkan matlamat yang tinggi untuk menarik 60 juta pelancong setahun menjelang 2030, hampir dua kali ganda rekod jumlah sepanjang tahun 2019 sebanyak 31.88 juta.

    Namun, beberapa penduduk sudah bosan dengan kelakuan tidak sopan dan pelanggaran etika oleh beberapa pelancong asing.

    Di sebuah bandar berhampiran Gunung Fuji pada Mei, pihak berkuasa memasang pengadang besar di tempat tumpuan popular berdekatan kedai serbaneka dalam usaha menghalang orang ramai daripada mengambil gambar.

    Langkah kawalan orang ramai baharu telah diperkenalkan di laluan mendaki paling popular di gunung berapi itu, yang kini mengenakan bayaran masuk sebanyak 2,000 yen (AS$13) selain sumbangan pilihan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda