ROM, 25 SEPT – Pihak berkuasa Itali telah menemukan mayat seorang wanita warga Jerman berusia 64 tahun yang dihanyutkan banjir ketika bercuti di utara Itali selepas operasi mencari selama beberapa hari, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pasukan bomba kelmarin berkata, wanita itu dilaporkan hilang awal minggu ini selepas dihanyutkan dari kawasan perkhemahan di Spigno Monferrato, barat laut negara itu yang dilanda ribut.
Pasukan penyelamat kemudian menemukan mayat mangsa kira-kira empat kilometer dari kawasan perkhemahan berkenaan kelmarin selepas lebih dari 48 jam misi pencarian.
Menurut pihak bomba, wanita itu bersama suaminya telah meletakkan rumah bergerak mereka di kawasan perkhemahan berhampiran Sungai Valla.
Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri daripada arus banjir dengan berjalan kaki tetapi tergelincir dan dihanyutkan. Suaminya yang sedang memegang seekor anjing berjaya menyelamatkan diri.
Banjir itu turut memusnahkan sebahagian besar kawasan utara Itali apabila beberapa sungai melimpah pada Isnin selepas hujan lebat.
Di beberapa kawasan perbandaran seperti Bandar Cabiate antara Milan dan Tasik Como, air setinggi paras lutut melimpahi jalan, manakala kejadian tanah runtuh turut dilaporkan. – Bernama


