Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Negara Brunei Darussalam terus melakar pencapaian penting dalam pelancongan pelayaran apabila negara mengalu-alukan ketibaan kembali kapal persiaran, Zhao Shang Yi Dun-Viking Sun, yang merupakan kapal persiaran kedua yang berlabuh di Negara Brunei Darussalam pada 2025.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, di sini, hari ini, kapal yang membuat pelayaran sulungnya ke negara ini, tiba dari Kota Kinabalu dengan membawa seramai 257 orang penumpang dan 351 anak kapal sebelum ia meneruskan pelayarannya ke Singapura selepas kunjungan singkat di negara ini.
Para penumpang telah dialu-alukan dengan mesra diiringi persembahan hadrah yang meriah dengan mengetengahkan warisan budaya negara.
Para pelawat meneruskan lawatan mereka dengan berkunjung ke mercu tanda ikonik negara termasuk Istana Nurul Iman, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Kampong Ayer di mana mereka mendalami lagi budaya dan sejarah Brunei.
Semasa lawatan berkenaan, para pelawat berpeluang untuk menikmati pelbagai juadah tradisional dan membeli cenderamata di Pusat Kapal Persiaran, yang mengayakan lagi pengalaman lawatan mereka.
Salah seorang penumpang lelaki dari Jepun yang berusia 82 tahun, Machiko, menyatakan perasaan kagum dengan sikap mesra dan sopan masyarakat Brunei.
Beliau menyatakan perasaan amat kagum dengan sikap pemandu Brunei yang memberhentikan kenderaan mereka untuk memberikan laluan kepada pejalan kaki untuk melintas di mana ia menggambarkan sikap hormat dan ramah pada penduduk Brunei.
Sementara itu, seorang penumpang dari Brisbane, Australia, Suzanne menyatakan bahawa beliau mempunyai pengalaman yang tidak dapat dilupakan di Brunei di mana tarikan baginya adalah lawatan ke Kampong Ayer dengan menaiki perahu, lawatan ke muzium serta kunjungan ke Masjid Omar ‘Ali Saifuddien yang menawan.
Beliau juga berasa amat kagum dengan warisan budaya negara yang mantap dan kemesraan hospitalitinya, yang memberikan perasaan penghargaan berkekalan terhadap tarikan unik Negara Brunei Darussalam.
Ketibaan kapal persiaran itu mengetengahkan tarikan Brunei yang semakin berkembang di kalangan penumpang persiaran China, Zhao Shang Yi Dun-Viking Sun di mana ia menandakan kapal persiaran kedua daripada sekurang-kurangnya 11 buah kapal persiaran yang dijangka akan melawat Brunei tahun ini, yang mencerminkan usaha negara untuk menarik lebih ramai pelawat menerusi pasaran pelayaran.
Jabatan Kemajuan Pelancongan akan mengalu-alukan kapal persiaran seterusnya iaitu Norwegian Sky, yang dijadualkan untuk berlabuh pada 3 Februari nanti bagi lawatan keduanya, yang menunjukkan minat penumpang dan operator pelayaran global yang semakin berkembang terhadap Brunei.