JAKARTA, 13 JULAI – Kawasan peranginan Indonesia di Bali akan mengenakan cukai 150,000 rupiah (AS$10) ke atas pelancong yang memasuki ‘Pulau Dewa’ itu mulai tahun depan untuk memulihara budayanya, kata pegawai semalam.
Bali yang bergantung kepada pelancong, menarik berjuta-juta pelawat asing setiap tahun dan pulau dengan pantai cantik itu cuba memanfaatkan popularitinya untuk meningkatkan pendapatannya dan melindungi tarikan cuaca tropikanya.
“Pembayaran yuran untuk pelancong asing hanya dikenakan sekali semasa lawatan mereka ke Bali,” beritahu Gabenor I Wayan Koster kepada penggubal undang-undang tempatan.
Yuran itu perlu dibayar secara elektronik dan akan dikenakan kepada pelancong asing yang memasuki Bali dari luar negara atau dari kawasan lain di Indonesia, katanya.
Cukai tidak akan dikenakan kepada pelancong domestik Indonesia.
Lebih dua juta pelancong melawat pulau itu tahun lalu, menurut angka rasmi, ketika Bali pulih daripada pandemik COVID selepas mengenakan dasar toleransi sifar terhadap pesalah peraturan.
Ketika ditanya sama ada cukai baharu itu akan menghalang pelancong daripada melawat pulau itu, Koster berkata pihak berkuasa tidak percaya jumlah pelawat akan menurun.
“Ia tidak menjadi masalah. Kami akan menggunakannya untuk alam sekitar, budaya dan kami akan membina infrastruktur yang lebih berkualiti supaya perjalanan ke Bali akan menjadi lebih selesa dan selamat,” katanya kepada pemberita. – AFP