Oleh Salawati Haji Yahya –
Kemeriahan suasana Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara dan juga merupakan daerah terakhir majlis berkenaan, telah menyaksikan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk hadir pada majlis tersebut yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, hari ini.
Dalam kegembiraan dan kemeriahan itu, media berpeluang menemui beberapa orang pelancong luar yang kebetulan sedang berada di negara ini.
Pelancongan dari Hong Kong, Cherry Tong, ketika ditemui telah berkongsi perasaan gembira dan teruja beliau melihat suasana yang penuh warna-warni dan memperlihatkan keunikan budaya negara ini.
Beliau seterusnya menjelaskan, sepatutnya jadual percutian beliau pada hari ini adalah mengunjungi tempat menarik yang lain dan pihak pemandu pelancong telah mengawalkan lawatan tersebut kelmarin bagi memberi peluang untuk menghadiri acara hari ini.
Katanya lagi, “Hari ini adalah hari terakhir saya berada di negara ini dan lawatan ke negara ini juga adalah yang pertama dan saya berharap akan berpeluang lagi datang pada masa akan datang.”
Sepanjang berada di negara ini, selain berpeluang mengunjungi tempat menarik dan bersejarah di negara ini, beliau juga berpeluang mencuba makanan tradisional Brunei dan juga mencuba makan durian kuning, yang mana menurutnya, menikmati buah durian kuning adalah satu pengalaman baharu.
Manakala David, yang merupakan seorang pelancong dari Australia, pula mengongsikan bahawa majlis tersebut menjadi kali kedua beliau menghadiri acara seumpamanya dan kali pertama adalah pada tahun 2022 di mana pada waktu itu bersama sekumpulan rakan-rakan.
Beliau yang sudah berada di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara itu seawal pukul 7 pagi dan sudah berpeluang merakamkan beberapa gambar menarik untuk dijadikan kenang-kenangan dan juga mengongsikan pengalaman beliau menghadiri acara kemeriahan negara ini kepada keluarga dan juga rakan-rakan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P15-2-Kenangan_01082023.jpg)