PUTRAJAYA, 28 April – Pelancong Malaysia yang cedera di Taroko Gorge National Park di Taiwan pada 18 April, Choo Yip Chean meninggal dunia lewat Sabtu malam (27 April), kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dalam kenyataannya hari ini.
Beliau berkata beliau telah bercakap dengan anggota keluarga Choo bagi menyampaikan ucapan takziah dan simpati.
“Kementerian Luar, menerusi Malaysian Friendship and Trade Centre di Taipei sedang membantu keluarga Choo untuk mengendalikan segala urusan yang perlu,” kata Saifuddin.
Beliau berkata, Kementerian Luar meminta kepada media dan orang ramai agar menjaga perasaan anggota keluarga berkenaan pada saat-saat melalui ujian ini.
Menurut laporan, Choo sedang melakukan aktiviti kembara di Lushui Trail di Taroko National Park di Hualien bila daerah itu mengalami gempa dengan kekuatan magnitud 6.1. – Bernama