Thursday, December 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelancong maut terkena renjatan elektrik dalam jakuzi

    BANDARAYA MEXICO, 16 JUN – Seorang pelancong Amerika maut dan isterinya dimasukkan ke hospital selepas terkena renjatan elektrik dalam tab mandi panas di sebuah bandar pantai Mexico awal minggu ini, satu kejadian yang mendorong keluarga itu menyaman pusat peranginan itu atas kematian yang salah dan kecuaian, kata peguam mereka, kelmarin.

    Wanita yang cedera parah, Lizette Zambrano, 35, memfailkan saman menuntut ganti rugi AS$1 juta daripada pengendali resort yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dari kampung halamannya di El Paso, Texas, pada Jumaat.

    Defendan yang berpangkalan di Arizona, penyedia sewa percutian Casago International dan syarikat pelancongan High Desert Travel, tidak menjawab permintaan untuk mengulas mengenai saman itu, yang mendakwa mereka bertanggungjawab atas pendawaian elektrik yang rosak di jakuzi yang menyebabkan pasangan itu terkena renjatan elektrik dan kematian Jorge Guillen, berusia 43 tahun.

    Selain gagal menghalang dan memberi amaran kepada tetamu tentang bahaya tab mandi panas, pengurus resort juga gagal bertindak balas dengan cepat terhadap kecemasan, menurut dakwaan itu.

    Tragedi itu berlaku apabila Zambrano, suaminya Guillen dan beberapa ahli keluarga lain tiba di Sonoran Sea Resort, sebuah kompleks kondominium bertingkat tinggi, pada Selasa untuk bercuti, kata tuntutan mahkamah. Zambrano dan Guillen menuju ke jakuzi untuk menyaksikan matahari terbenam di atas laut.

    Mereka tidak tahu arus elektrik mengalir melalui air tab panas itu.

    “Ia benar-benar menakutkan,” beritahu Tej Paranjpe, peguam di firma undang-undang PMR yang berpangkalan di Houston, kepada The Associated Press.

    Pada saat Guillen mencelupkan kakinya ke dalam jakuzi, dia terus terkena renjatan elektrik, lalu terjatuh ke dalam jakuzi dan terperangkap di bawah pusaran air. – AP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda