Oleh Hajah Saemah Kepli
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Peluang berkunjung ke Majlis Terbuka Istana Nurul Iman merupakan pengalaman berharga bukan sahaja bagi rakyat negara ini bahkan warga asing yang sanggup datang ke negara ini semata-mata menghadiri majlis yang menjadi bualan ramai itu.
Bagi Sia yang berasal dari Afrika, berkunjung ke istana terbuka adalah kerana perasaan kasih dan sayang yang ditunjukkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada rakyat dan penduduk di negara ini.
Menurutnya Baginda membukakan peluang junjung ziarah ke istana atas rasa cinta dan kasih Baginda kepada rakyat dan penduduk di negara ini dan Baginda mahu mengongsikan kebahagiaan bersempena Sambutan Hari Raya dengan menyediakan hidangan yang sangat istimewa dan cenderahati yang cantik semata-mata untuk diberikan kepada setiap pengunjung.
“Bagi saya, berada di istana hari ini, saya dapat rasakan kasih sayang dan keprihatinan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri kepada rakyat termasuklah kepada setiap pengunjung.

“Saya juga rasa sangat bertuah kerana berpeluang menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan kerabat diraja lainnya,” ujar beliau lagi, yang datang bersama anak perempuannya Easter, 6, yang pada masa ini bersekolah di Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) dan Sia sudah berada di negara ini selama empat tahun dibawa oleh majikannya yang bekerja di Temburong.
Sementara itu, bagi Malessa Akey dari Amerika Syarikat, beliau datang ke negara ini tiga hari lalu semata-mata mahu menyertai peluang berkunjung ke istana terbuka.
Menurutnya, beliau telah menonton berita mengenai istana terbuka berkenaan di Singapura di mana beliau bekerja sebagai guru matematik sekolah tinggi di sana, lalu mengambil keputusan untuk datang ke Brunei dan berkunjung ke istana buat pertama kalinya.
“Saya rasa amat bertuah kerana berpeluang berkunjung ke istana dan berpeluang mengadap serta junjung ziarah kehadapan majlis KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan kerabat diraja lainnya.
“Saya akan kongsikan pengalaman manis ini dengan kawan-kawan dan akan membawa mereka tahun depan bersama saya berkunjung ke istana bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Beliau juga mendapati negara ini sangat indah dan semasa berada di sini, beliau berkesempatan melawat ke beberapa kawasan menarik di sini serta beliau merasakan penduduk di negara ini amat bertuah kerana mempunyai seorang raja yang amat pengasih kepada rakyat dan penduduk Baginda.

Bagi Christ dari England pula, tahun ini merupakan kali kedua beliau berpeluang berkunjung ke Istana Nurul Iman, untuk membawa dua orang anak kawannya yang baru pertama kali berkunjung, setelah mengongsikan pengalaman indah yang dirasainya berkunjung buat pertama kali pada tahun lalu kepada kawan-kawan dan mereka juga ingin merasakan pengalaman yang sama.
Menurutnya, bukanlah mudah untuk masuk ke istana raja di negara-negara lain, Negara Brunei Darussalam sangat unik dan istimewa kerana menjadikan tradisi istana terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri.

Seorang lagi pengunjung yang sempat ditemu bual, Pengiran Abdul Razak bin Pengiran Abdul Rahman dari Kampung Datuk Terusan, Lawas, berkata, berkunjung ke Istana Nurul Iman adalah pengalaman yang pertama baginya walaupun sudah beberapa tahun ingin sampai tetapi belum berpeluang, sehinggalah adik-adik dan iparnya mengajak untuk pergi dan hari ini kakinya telah menjejak masuk ke ruang mengadap dan junjung ziarah serta berpeluang menatap wajah Baginda Sultan secara langsung kerana sebelum ini beliau hanya pernah melihat Baginda melalui kaca televisyen sahaja.
Beliau yang membawa bersama tiga buah keluarga kira-kira 20 orang berkata, “Keadaan ruang legar makan amat selesa dan ruang menunggu juga amat teratur, di samping hidangan sangat istimewa, kami rasa amat bertuah berpeluang bersama puluhan ribu orang pengunjung yang lain sampai ke Istana Nurul Iman hari ini.
“Insya-Allah, kami akan datang lagi tahun depan membawa sanak saudara yang lain untuk sama-sama merasakan pengalaman yang indah ini,” katanya.
Pengusaha terkenal Syarikat Nazmi Textiles, Nazir Ahmad Zakaria pula menjadikan kunjungan ke istana Nurul Iman bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai aktiviti tahunan bersama ahli-ahli Persatuan Peniaga-peniaga India di negara ini.
