BANGKOK, 6 JAN – Seekor gajah yang dalam keadaan panik telah membunuh seorang pelancong Sepanyol ketika wanita itu sedang memandikan haiwan tersebut di sebuah pusat perlindungan di selatan Thailand, kata polis hari ini.
Wanita berusia 23 tahun itu dipukul dengan belalai gajah di Pusat Penjagaan Gajah Koh Yao di wilayah Phang Nga, menurut polis.
“Seorang pelancong wanita telah dibunuh ketika sedang memandikan seekor gajah,” kata Jaran Bangprasert, ketua polis tempatan kepada AFP.
Pihak berkuasa telah menghubungi kedutaan Sepanyol untuk mengesahkan identiti mangsa.
Pusat perlindungan tersebut enggan memberikan butiran lanjut mengenai kejadian tersebut apabila dihubungi oleh AFP.
Gajah liar telah membunuh 227 orang, termasuk pelancong, dalam tempoh 12 tahun yang lalu, menurut Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan.
Bulan lalu, seekor gajah membunuh seorang wanita berusia 49 tahun di sebuah taman negara di wilayah Loei, utara Thailand.
Walaupun pertembungan antara penduduk kampung dan gajah liar sering berlaku, serangan di pusat perlindungan jarang dilaporkan.
Aktiviti memandikan gajah sangat popular dalam kalangan pelawat di Thailand, di mana kira-kira 2,800 gajah digunakan untuk tujuan pelancongan di seluruh negara, menurut World Animal Protection.
Namun, kumpulan hak asasi haiwan berpendapat bahawa aktiviti memandikan gajah boleh menyebabkan haiwan itu mengalami tekanan, dan beberapa pusat perlindungan di negara tersebut tidak membenarkan aktiviti ini. – AFP